KUALA LUMPUR 4 April - Pelabur asing merupakan merupakan pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu yang berakhir 1 April 2022 dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM536.5 juta manakala peruncit tempatan bertukar menjadi penjual bersih untuk minggu berkenaan dengan RM72.74 juta.
MIDF Research dalam laporan strategi ekuitinya berkata, dana antarabangsa menjadi tumpuan utama di bursa untuk tempoh 11 minggu daripada 13 minggu pertama pada 2022 dengan aliran masuk sebanyak RM6.66 bilion setakat tahun ini.
Pelabur asing menjadi pembeli bersih pada hari terakhir dagangan dengan pembelian terbesar berlaku pada Jumaat dengan RM194.8 juta manakala dagangan terkecil sebanyak RM30.7 berlaku pada Selasa.
"Institusi tempatan kekal menjadi penjual bersih dengan dagangan terbesar berlaku pada Isnin dengan RM138.2 juta manakala yang paling kecil berlaku pada Rabu dengan RM51.4 juta dan secara keseluruhan merupakan penjual bersih dengan RM463.75 juta.
"Peruncit tempatan menunjukkan pergerakan bercampur minggu lalu dengan tiga hari jualan bersih dan dua hari pembeli bersih dengan kedudukan jualan bersih sebanyak RM72.74 juta pada minggu lalu.
"Mereka merupakan penjual bersih pada Rabu dengan RM36.12 juta dan pembeli bersih pada Isnin (RM17.39 juta) dan Selasa (RM57.51 juta)," katanya.
Sektor yang paling digemari pelabur asing pada minggu lalu adalah perkhidmatan kewangan, perladangan dan produk industri yang menyaksikan aliran masuk sebanyak RM335.6 juta, RM100.4 juta dan RM54.6 juta masing-masing.
Sementara itu, institusi tempatan lebih tertumpu kepada sektor penjagaan kesihatan dan pembinaan dengan RM62.8 juta and RM4.0 juta masing-masing.
"Secara keseluruhan, institusi tempatan merupakan penjual bersih dengan nilai dagangan RM7.08 bilion manakala peruncit tempatan dan pelabur asing merupakan pembeli bersih dengan RM0.42 bilion dan RM6.7 bilion masing-masing.
"Dari segi penyertaan, hanya pelabur asing yang menyaksikan peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 5.95% manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan mencatatkan penurunan, masing-masing sebanyak 20.47 % dan 13.49%," katanya. - DagangNews.com