Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Pasaran saham Malaysia hari ini melonjak semakin menghampiri paras tinggi bagi tahun 2020.
Setakat 9 pagi, indeks penanda aras saham tempatan, FBM KLCI mencecah 1,625.42 menokok 2.53 mata atau 0.16% daripada paras yang ditutup semalam, 1,622.89.
Pasaran tempatan itu menunjukkan trend berbeza apabila rata-rata saham di Asia dibuka lebih lemah pada awal dagangan hari ini.
Menurut Bloomberg, saham Asia dibuka lebih rendah memandangkan kes jangkitan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) mempengaruhi risiko aset.
Penanda aras ekuiti di Jepun dan Korea Selatan menjunam, manakala Australia pula sedikit berubah.
Dalam pada itu, kontrak S&P 500 merudum selepas penanda aras berkenaan merosot daripada paras tertinggi.
Saham-saham tenaga dan kewangan mendahului kemerosotan berkenaan ketika tercetusnya kebimbangan terhadap sekatan baharu melihatkan jumlah kes kian meningkat.
Nasdaq 100 pula ditutup lebih tinggi untuk sembilan hari berturut-turut, tempoh masa terpanjang dalam setahun.
Minyak pula jatuh, manakala emas stabil melompat lebih 1%.
Apabila kes COVID-19 semakin meningkat, pasaran global semakin menanti-nantikan rundingan pakej rangsangan di AS selesai.
Ini terutamanya apabila data pengangguran di AS yang dikeluarkan pada minggu lalu mengecewakan.
Pasaran tempatan dan Asia dipengaruhi tinggi oleh sentimen pergerakan saham AS selain perkembangan vaksin COVID-19.
Melihatkan trend meningkat di pasaran tempatan untuk dua hari perdagangan, semak turun penilaian kewangan Malaysia oleh Fitch Ratings dilihat tidak menjejaskan sentimen pasaran. - DagangNews.com