KUALA LUMPUR 11 Julai - Dagangan di Bursa Malaysia diunjur bergerak lebih tinggi minggu ini, sebahagiannya disebabkan oleh tindakan pelabur untuk mengurangkan jangkaan mereka terhadap risiko kelembapan global, kata seorang penganalisis.
Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Nazri Khan Adam Khan berkata indeks penanda aras dijangka mencapai 1,450 mata minggu depan berikutan sentimen pelabur yang bertambah baik di tengah-tengah pengukuhan data ekonomi yang dilaporkan awal minggu ini.
“Data ekonomi Malaysia adalah lebih baik daripada jangkaan. Data pekerjaan dan pembuatan lebih kukuh berbanding sebelum COVID-19, menjadikan kebimbangan kemelesetan tidak berasas,” katanya kepada Bernama.
Pada hari Khamis, Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa bilangan penganggur pada Mei 2022 terus turun dengan pengurangan sebanyak 1.8 peratus kepada 637,700 orang, daripada 649,300 orang pada bulan sebelumnya.
Keadaan tenaga buruh pada Mei 2022 juga kekal berdaya tahan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan dalam tenaga buruh sebanyak 0.2 peratus kepada rekod 16.54 juta orang, daripada 16.5 juta orang pada April.
Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan diniagakan kebanyakannya lebih rendah di tengah-tengah sentimen berhati-hati dalam pasaran.
Pada hari Rabu, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas untuk sesi kedua berturut-turut, meningkatkan kadar faedah kepada 2.25 peratus.
Penurunan harga komoditi turut menjejaskan Indeks Tenaga dan Indeks Perladangan minggu ini.
Pada hari Jumaat, FBM KLCI mengukuh 7.10 mata untuk mengakhiri urus niaga pada 1,425.79 daripada 1,418.69 penutup Khamis. Pada asas mingguan, indeks penanda aras pula 23.96 mata lebih rendah daripada 1,449.74 pada akhir minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBMT100 susut 166.63 mata menjadi 9,893.08, Indeks FBM Emas Syariah turun 287.06 mata kepada 10,193.92 dan Indeks FBM Emas menguncup 179.35 mata kepada 10,136.53.
Indeks FBM ACE turut berkurangan sebanyak 116.71 mata kepada 4,667.81 dan FBM 70 lemah 207.23 mata kepada 12,196.31.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 289.86 mata kepada 6,634.86, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 8.86 mata kepada 172.83, dan Indeks Tenaga lebih rendah sebanyak 48.04 mata kepada 636.44.
Sementara itu Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.31 mata kepada 16,077.12, Indeks Penjagaan Kesihatan turun 12.55 mata kepada 1,628.44, dan Indeks Teknologi susut 1.96 mata kepada 59.95.
Jumlah dagangan mingguan lebih rendah kepada 9.45 bilion unit bernilai RM6.49 bilion daripada 11.09 bilion unit bernilai RM7.95 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 5.74 bilion saham bernilai RM5.61 bilion daripada 7.15 bilion saham bernilai RM6.92 bilion pada minggu
sebelumnya.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 2.11 bilion unit bernilai RM412.91 juta berbanding 2.14 bilion unit bernilai RM444.94 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup menjadi 1.59 bilion saham bernilai RM460.36 juta berbanding 1.77 bilion saham bernilai RM589.15 juta minggu
sebelumnya. - DagangNews.com