Bursa Malaysia lancar kempen ETF Rewards 2023 tawar percutian percuma kepada 3 pelabur runcit bertuah | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia lancar kempen ETF Rewards 2023 tawar percutian percuma kepada 3 pelabur runcit bertuah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Bursa Malaysia Berhad telah melancarkan kempen ETF Rewards 2023 bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2023 bagi menggalakkan pelaburan dalam dana dagangan bursa (ETF) tersenarai.

 

Kempen enam bulan tersebut berlangsung dalam tiga tempoh tetingkap pelaburan yang menawarkan peluang kepada pelabur runcit berkelayakan memenangi perjalanan berbayar penuh untuk dua individu ke Langkawi, Bali dan Tokyo melalui cabutan bertuah.

 

Mengulas mengenai kempen itu, Pengarah Pengasalan dan Penyenaraian, Azhar Mohd Zabidi, berkata kempen tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan Bursa Malysia  mengembangkan pasaran ETF dengan melengkapkan pengetahuan dan pemahaman tentang ETF kepada pelabur serta akses kepada pelbagai rangkaian ETF yang tersedia.

 

“Kami percaya mendidik pelabur adalah penting untuk membantu mereka memperoleh pemahaman mendalam tentang pelaburan dalam ETF iaitu aset yang menawarkan penyelesaian kreatif dan kepelbagaian kepada portfolio pelaburan mereka,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, Azhar berkata ETF mempunyai peluang besar, di mana kebanyakannya masih belum diterokai dan melabur dalam ETF adalah sangat mudah kerana pelabur boleh menggunakan akaun dagangan sedia ada.

 

 

Azhar Mohd Zabidi
Azhar Mohd Zabidi

 

 

“Kami berharap hadiah menarik yang ditawarkan dalam kempen ini akan menjadi insentif selanjutnya bagi pelabur memulakan atau mengembangkan pelaburan ETF mereka, meningkatkan perjalanan dagangan mereka,” tambahnya.

 

Tempoh tetingkap pelaburan pertama berlangsung dari 1 Mei hingga 30 Jun 2023, di mana pelabur mesti melabur atau membeli satu atau lebih ETF dengan nilai kumulatif minimum RM1,500 dan ke atas.

 

 

bursa

 

 

Tetingkap pelaburan kedua pula adalah dari 1 Julai hingga 31 Ogos 2023 dengan pelaburan minimun RM2,000 dan ke atas, manakala tetingkap pelaburan ketiga dan terakhir berjalan dari 1 September hingga 31 Oktober 2023 dengan minimum RM2,500 dan ke atas.

 

Pada setiap tetingkap pelaburan, pelabur sedia ada boleh memperoleh satu penyertaan dalam cabutan bertuah untuk setiap pelaburan terkumpul minimum yang dibuat dalam ETF tersenarai di Bursa Malaysia, dengan maksimum lima penyertaan setiap Tetingkap Pelaburan.

 

Sementara itu, pelabur baharu boleh memperoleh dua penyertaan dalam cabutan bertuah untuk setiap pelaburan terkumpul minimum yang dibuat dalam ETF tersenarai di Bursa Malaysia, dengan maksimum enam penyertaan setiap tetingkap pelaburan.

 

Cabutan akan diadakan pada penghujung setiap tetingkap pelaburan untuk menentukan seorang pemenang bertuah.

 

Pelabur yang berminat untuk menyertai kempen ETF Rewards 2023 boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut di laman web kempen-DagangNews.com