Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini secara positif dengan sentimen pasaran bertambah baik | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini secara positif dengan sentimen pasaran bertambah baik

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Sept - Bursa Malaysia menutup sesi dagangan lebih tinggi apabila sentimen pasaran terus bertambah baik di seluruh rantau berikutan pemulihan di Wall Street, dengan kaunter teknologi mendahului untung, kata seorang peniaga.

 

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.80 mata, atau 0.12%, kepada 1,496.53 berbanding 1,494.73 penutup Khamis.

 

Indeks penanda aras dibuka 1.02 mata lebih kukuh pada 1,495.75 dan bergerak antara 1,493.15 dan 1,498.32 sepanjang sesi dagangan.

 

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 456 berbanding 336, manakala 407 kaunter tidak berubah, 1,106 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

 

Jumlah dagangan susut sedikit kepada 2.36 bilion unit bernilai RM1.48 bilion daripada 2.39 bilion unit bernilai RM1.86 bilion pada Khamis.

 

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup lebih tinggi sejajar dengan sentimen positif di Wall Street apabila hasil dolar AS dan Perbendaharaan turun daripada paras tertinggi baru-baru ini.

 

"Bagi bursa tempatan, kami percaya momentum belian akan berterusan kerana penilaian ekuiti tempatan masih lebih murah berbanding rakan serantau mereka," katanya.

 

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa Inari Amertron, Public Bank dan Digi menokok lima sen masing-masing kepada RM2.75, RM4.69 dan RM3.60, CIMB naik empat sen kepada RM5.44 dan Maybank meningkat dua sen kepada RM8.97.

 

Bagi saham aktif, Metronic turun satu sen kepada 3.5 sen, Ta Win susut setengah sen kepada enam sen, Cnergenz pulih 11 sen kepada RM1.02, Tanco meningkat 2.5 sen kepada 28.5 sen dan DNeX meningkat setengah sen kepada 82.5 sen. - DagangNews.com