Bursa Malaysia minta Parlo jelaskan lonjakan mendadak saham | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia minta Parlo jelaskan lonjakan mendadak saham

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Bursa Malaysia meminta syarikat teknologi pelancongan, Parlo Berhad (Parlo) untuk memberi penjelasan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) selepas harga dan jumlah sahamnya melonjak dengan mendadak. 

Pertanyaan yang dilontarkan Bursa Malaysia adalah seperti berikut:

1. Adakah terdapat perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan hal ehwal Parlo yang sebelum ini tidak diumumkan, mungkin menyumbang kepada aktiviti perdagangan termasuk pada peringkat rundingan/perbincangan. Sekiranya ya, sila nyatakan butiran berhubung status perkembangan korporat berkenaan untuk membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan. 

2. Adakah terdapat sebarang khabar angin atau laporan berhubung perniagaan dan hal ehwal Parlo yang mungkin menyumbang kepada aktiviti perdagangan dan kumpulan syarikat diminta mematuhi Perenggan 9.09 dan 9.10 Keperluan Penyenaraian (LR) Sekuriti Bursa.

3. Adakah Parlo mengetahui sebarang penjelasan lain yang menyumbang kepada aktiviti perdagangan.

4. Adakah Parlo mematuhi LR Sekuriti Bursa terutamanya dalam Perenggan 9.03 berhubung tanggungjawab pendedahan segera.

“Berhubung perkara ini, pelabur dinasihatkan untuk mengambil maklum kenyataan balas Parlo bagi pertanyaan UMA tersebut yang akan disiarkan dalam laman web Bursa Malaysia di bawah pengumuman syarikat,” kata Bursa Malaysia.

Parlo perlu membalas pertanyaan berkenaan kepada pendedahan umum, tertakluk kepada LR Sekuriti Bursa.

Ketika laporan ditulis, Parlo belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung perkara tersebut.

Setakat 12.30 tengah hari, harga saham Parlo berada pada kadar 4.25 sen, meningkat 11.48%. - DagangNews.com