Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis - Bursa Malaysia Bhd. memenangi anugerah Exchange of the Year sempena Anugerah Kecemerlangan Regulation Asia 2021 buat kali keempat yang diadakan secara maya, semalam.
Merentasi 3 pasaran, Bursa Malaysia menempatkan 948 syarikat tersenarai awam, angka terbesar di rantau ASEAN.
Ia juga mempunyai pasaran sekuriti patuh syariah paling berkembang maju dan mengendalikan bursa derivatif yang menampilkan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah paling cair di dunia.
Sebagai pengendali dan pengawal selia pasaran, Bursa Malaysia juga menyediakan perkhidmatan pasca dagangan, infrastruktur teknologi yang kukuh dan perkhidmatan maklumat yang komprehensif.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, anugerah itu menandakan pengiktirafan terhadap usaha dan inisiatif yang dilaksanakan Bursa Malaysia.
Katanya, di sebalik cabaran akibat pandemik global, Bursa Malaysia terus mempamerkan prestasi kukuh dalam pelaburan islamik, niaga hadapan minyak sawit dan kemampanan.
"Dengan memperoleh anugerah ini, ia akan mendorong kami ke tahap lebih tinggi, dan memperluaskan jangkauan dan tawaran kami di samping mengekalkan pasaran yang adil dan teratur untuk membolehkan semua peserta berkembang," katanya dalam kenyataan.
Selain daripada tindak balas yang pantas dalam membendung wabak COVID-19, Bursa Malaysia turut menangani keperluan pelabur dengan menghendaki syarikat tersenarai membuat pendedahan berkaitan kemampanan dalam laporan tahunan mereka, mengembangkan portfolio alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan Indeks Syariah, serta mempromosi pendidikan pasaran mengenai kemampanan dan pelaburan ESG.
Malah, usaha juga sedang dilaksanakan untuk meningkatkan amalan laporan kemampanan dan mewujudkan pasaran karbon sukarela patuh syariah dan platform dagangan untuk menyokong peralihan Malaysia kepada pelepasan sifar bersih.
Sementara itu, Pengasas Bersama Regulation Asia, Brad Maclean berkata, Bursa Malaysia merancang untuk menjadi karbon neutral pada 2022 dan mencapai sifar bersih menjelang 2050.
"Di samping inisiatif ESG dilaksanakannya, Bursa Malaysia sedang menjalin perkongsian strategik dengan bursa lain, mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk inovasi dan memanfaatkan teknologi baharu dan baru muncul seperti blockchain untuk meningkatkan operasi dan prosesnya, yang hanya akan mempercepatkan proses pertumbuhan yang semakin pantas," jelasnya.
Regulation Asia ialah sumber utama bagi maklumat kawal selia yang boleh diambil tindakan untuk pasaran Asia Pasifik.
Dengan lebih 12,000 pelanggan, termasuk badan kawal selia, bursa, bank, pengurus aset dan penyedia perkhidmatan, Regulation Asia memainkan peranan penting dalam membentuk agenda kawal selia. - DagangNews.com