Bursa Malaysia RAM Capital lancar platform pengumpulan dana hutang bagi firma kecil dan sederhana | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia RAM Capital lancar platform pengumpulan dana hutang bagi firma kecil dan sederhana

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Dis - Bursa Malaysia RAM Capital Sdn Bhd (BR Capital), syarikat kerjasama antara Bursa Malaysia Berhad dan RAM Holdings Berhad melancarkan platform pengumpulan dana hutang bagi membantu syarikat tersenarai dan tidak tersenarai termasuk firma kecil hingga sederhana.

 

Platform pengumpulan dana alternatif akan memudahkan syarikat yang memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5 juta dan tempoh pembiayaan minimum setahun bagi mengumpul dana melalui penerbitan nota pelaburan.

 

"Platform ini membolehkan syarikat mengakses kumpulan modal baharu melangkaui pasaran borong tradisional selain menyediakan peluang kepada pelabur bagi mempelbagaikan portfolio mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, platform pengumpulan dana hutang BR Capital adalah sejajar dengan strategi menyeluruh mereka untuk menjadi bursa berbilang aset.

 

“Platform baharu ini bersedia untuk mentakrifkan semula landskap pengumpulan dana dan berada pada kedudukan yang baik untuk pengembangan bagi memasukkan ekosistem pelabur yang pelbagai.

 

"Ini akan meningkatkan keterangkuman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia selain menyumbang kepada pertumbuhan pasaran modal serta ekonomi keseluruhan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan RAM, Chris Lee juga percaya bahawa BR Capital boleh membantu mengembangkan pelaburan yang mampan dalam pasaran modal alternatif Malaysia.

 

“RAM akan menyumbang kepada pertumbuhan ini dengan kepakaran kami dalam penarafan kredit, penarafan ESG (amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus) serta harga pendapatan tetap pada nota pelaburan yang dikeluarkan melalui platform baharu itu,” katanya.

 

Platform BR Capital kini dalam fasa pelancaran awalnya, dengan onboarding kini dibuka kepada kumpulan terpilih bakal penerbit dan pelabur. - DagangNews.com