Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) sedang bersiap-siaga untuk mengekang spekulasi berlebihan ke atas harga saham memandangkan pelabur individu melonjakkan perdagangan saham ke jumlah yang tertinggi.
Sehubungan itu, pengendali pasaran saham itu akan memberi amaran kepada pelabur sekiranya terdapat perdagangan sekuriti berlebihan.
Mereka juga akan diminta untuk membuat pembayaran pendahuluan ke atas saham yang terjejas menerusi ‘kaunter terpilih’, bagaimanapun ini bukan bermaksud saham berkenaan terlibat dalam manipulasi perdagangan.
“Terdapat satu kebimbangan terhadap isu pelabur yang mudah terpengaruh dengan emosi dan naluri yang kelak meletakkan mereka dalam kedudukan bahaya.
“Oleh itu, kami akan terus berusaha untuk meningkatkan penyertaan runcit ke dalam pasaran Malaysia dan meneruskan fokus kami untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia,” jelas Bursa Malaysia seperti dipetik Bloomberg.
Pada 11 Ogos lalu, pasaran saham negara menyaksikan kemasukan pelabur kecil yang melonjakkan urus niaga ke rekod tertinggi iaitu 27.8 bilion saham.
Mereka menumpukan ke arah ekuiti Malaysia sejak pakej rangsangan termasuk moratorium pinjaman bank dilaksanakan sekali gus membolehkan pelabur untuk melabur ke dalam pasaran saham.
Bukan itu sahaja, penanda aras FBM KLCI juga melonjak hampir 30% daripada paras terendahnya pada Mac lalu, setelah saham sarung tangan getah dan penjagaan kesihatan meningkat dengan ketara, didorong oleh permintaan tinggi ketika pandemik.
Bursa Malaysia akan mengenakan langkah-langkah tersebut jika spekulasi atau manipulasi berlebihan yang disyaki berlanjutan setelah semua tindakan pencegahan lain telah diambil dan kriteria untuk sekuriti yang telah ditentukan dipenuhi.
Broker juga mungkin telah mengambil langkah berhati-hati.
RHB Investment Bank Berhad difahamkan mula meminta jaminan yang sama untuk pelanggan yang membeli waran berstruktur, biasanya produk leveraj. - DagangNews.com