KUALA LUMPUR 5 Nov - Affin Hwang Investment Bank Research mengunjurkan pendapatan suku-ke-suku (qoq) dan tahun-ke-tahun (yoy) Farm Fresh Bhd masing-masing sebanyak 12% dan 116% kepada RM29 juta pada 2QFY25.
Firma penyelidikan itu berkata, unjurannya didorong oleh hasil jualan yang lebih tinggi daripada kedua-dua produk tenusu dan ais krim dibantu peningkatan margin ringgit lebih kukuh dan kos serbuk susu penuh (WMP) yang lebih rendah.
Kumpulan itu mencatatkan penjualan 50,000 ais krim sehari pada September 2024 berbanding unjurannya iaitu 30,000 ais krim sehari pada Ogos 2024.
Katanya, ia juga meramalkan pendapatan FY26 dan FY27 kumpulan itu naik satu digit memandangkan kenaikan harga susu tepung.
"Secara keseluruhan, kami mengunjurkan CAGR pendapatan Farm Fresh sebanyak 38% dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Kami berpendapat anggaran kami kekal konservatif memandangkan UTR yang agak rendah yang telah kami modelkan untuk barisan ais krim," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas Farm Fresh pada harga dengan (TP) lebih tinggi iaitu RM2.10 daripada RM1.80, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) lebih tinggi sebanyak 30 kali pada EPS 2025.
Ia juga berkata, anggaran PER kumpulan itu adalah jauh lebih tinggi berbanding F&N dan Dutch Lady, tetapi firma itu percaya ramalannya terhadap kumpulan itu akan dibantu oleh pertumbuhan pendapatan yang teguh dengan CAGR tiga tahun sebanyak 38%.
"Kami terus menyukai Farm Fresh kerana prospek positifnya berdasarkan perkembangan bahagian pasaran dalam segmen susu UHT yang luas, potensi keuntungan bahagian pasaran daripada perniagaan ais krim pasaran barangan pengguna ais krim (CPG) baharunya dan pertumbuhan pendapatan yang kukuh," katanya . - DagangNews.com