Bursa Malaysia terus catat aliran keluar asing sebanyak RM336.9 juta minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia terus catat aliran keluar asing sebanyak RM336.9 juta minggu lalu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Okt - Bursa Malaysia terus mencatat aliran keluar asing buat lima minggu berturut-turut meskipun jumlahnya adalah lebih rendah berbanding minggu sebelumnya. 

 

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan mendapati aliran keluar asing susut kepada RM336.9 juta bagi minggu berakhir 7 Oktober 2022 berbanding RM740.6 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

 

Aliran keluar asing paling tinggi dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM143.36 juta manakala Isnin sebanyak RM112.42 juta. 

 

"Sementara itu, pelabur asing menjual bersih ekuiti pada Rabu dan Khamis masing-masing sebanyak RM68.05 juta dan RM72.71 juta. 

 

"Hanya hari Selasa merekodkan aliran masuk asing sebanyak RM59.64 juta selepas menjual bersih ekuiti dalam 14 hari dagangan berturut-turut," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Tiga sektor yang mencatatkan paling banyak aliran keluar asing adalah perkhidmatan kewangan sebanyak RM310.8 juta, teknologi (RM52.7 juta) serta perkhidmatan dan produk pengguna (RM42.1 juta).

 

Pembinaan, telekomunikasi dan media serta tenaga pula menjadi tiga sektor utama dengan masing-masing sebanyak RM117.8 juta, RM32.5 juta dan RM27 juta.

 

Menurut MIDF Research, pelabur institusi tempatan pula membeli ekuiti buat minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM413.47 juta pada minggu lalu. 

 

"Mereka membeli ekuiti setiap hari kecuali Selasa dengan aliran keluar direkodkan sebanyak RM33.04 juta. 

 

"Setiap hari pelabur institusi tempatan membeli ekuiti secara konsisten melebihi RM100 juta dengan paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM137.71 juta," katanya.

 

Pelabur runcit pula muncul penjual bersih ekuiti tempatan pada minggu lalu sebanyak RM76.56 juta setelah tiga minggu berturut-turut menjadi pembeli bersih. 

 

Setakat ini, MIDF Research berkata, dana antarabangsa sudah membeli ekuiti tempatan sebanyak RM6.29 bilion selama 24 daripada 40 minggu manakala pelabur institusi tempatan menjual RM8.47 bilion selama 29 minggu. 

 

Sementara itu, pelabur runcit pula telah membeli RM2.19 bilion ekuiti selama 26 minggu setakat tahun ini.

 

Dari segi pergerakan pelabur, nilai dagangan purata harian (ADTV) pelabur asing susut 31.53% diikuti pelabur institusi tempatan (-17.76%) dan pelabur runcit (-9.89%). - DagangNews.com