Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Dis. - Belanjawan 2021 yang diluluskan Dewan Rakyat petang tadi meskipun tipis, memberi suntikan positif kepada bursa tempatan untuk ditutup tinggi petang ini.
Malah, ia juga menandakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan menerajui pentadbiran negara yang kini sedang bergelut akibat wabak COVID-19.
Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 11.28 mata kepada 1,674.02 mata setelah bergerak dalam jajaran 1,655.88 hingga 1,679.10 mata.
Jumlah dagangan sebanyak 9.963 bilion bernilai RM5.02 bilion.
Kaunter untung mengatasi rugi pada 658 berbanding 524 manakala 523 kaunter tidak berubah.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0530/0560 berbanding dolar AS, lebih tinggi berbanding penutupan semalam, RM4.0540/0580 ekoran meningkatnya keyakinan terhadap dolar AS.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (RUU) selepas bacaan ketiga yang diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Keputusan itu dibuat berdasarkan undian belah bahagi yang dilaksanakan hampir 10 minit. Seramai 111 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 108 lagi tidak bersetuju dan seorang Ahli Parlimen tidak hadir.
Kelulusan yang diperoleh itu bermakna spekulasi spekulasi yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjangkakan kerajaan di bawah pemerintahan Muhyiddin tumbang hari ini juga gagal.
Beliau dan seteru lamanya, Tengku Razaleigh Hamzah dalam sidang akhbar bersama semalam menetapkan pendirian untuk tidak menyokong Belanjawan 2021.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, indeks FBM KLCI menokok 0.7% selepas Belanjawan 2021 mendapat sokongan 111 Ahli Parlimen dalam sidang hari ini.
Dalam kalangan komponen FBM KLCI, Telekom Malaysia mendahului kaunter untung dengan kenaikan 2.3%.
"Ini mencerminkan kelulusan bajet itu akan memberi petunjuk yang jelas mengenai perancangan kerajaan untuk meningkatkan rangkaian jalur lebar ke seluruh negara," katanya kepada DagangNews.com.
Bagi kaunter rugi pula, ia didahului dengan RHB Bank apabila susut lebih 2% susulan laporan mengenai cadangan Aabar Investment untuk menjual semua kepentingannya dalam kumpulan perbankan itu.
"Dengan perancangan untuk menambahbaik rangkaian internet dilihat berada dalam landasannya, indeks penjagaan kesihatan mencatat keuntungan terbesar apabila menokok 1.3% berbanding sektor lain.
"Indeks tenaga pula menyaksaikan penyusutan terbesar, jatuh 0.7%," jelas beliau.
Bagi pasaran saham Asia, Reuters melaporkan, ia berdepan tekanan hari ini berikutan sesi dagangan Wall Street yang bercampur-campur apabila meningkatnya kebimbangan mengenai pandemik COVID-19 yang mengakibatkan banyak kematian, jangkitan dan perintah berkurung.
Keadaan ini secara tidak langsung membayangi keyakinan pelabur terhadao vaksin COVID-19 ke arah pemulihan ekonomi global.
Semalam, AS memulakan vaksinasi kepada jururawat di unit jagaan rapi, manakala kes kematian akibat wabak itu melepasi angka 300,000.
Peniaga di Bright Trading LLC, Dennis Dick berkata, pasaran kini bergantung 100% kepada perkembangan vaksin COVID-19.
"Kami telah membuat dagangan dengan menjadikan vaksin sebagai topik utama sejak 3 hingga 4 bulan lalu," katanya. - DagangNews.com