Bursa, ringgit semakin merosot | DagangNews Skip to main content

Bursa, ringgit semakin merosot

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Saham berkaitan pengeluar sarung tangan getah mengheret turun indeks utama FBM KLCI sehingga pasaran ditutup rendah petang ini. 

 

Bursa tempatan mengakhiri dagangan pada 1,567.14 mata setelah susut 0.7% atau 10.61 mata pada hari pertama dagangan Mac 2021. 

 

Ia menyaksikan 10.69 saham diniagakan bernilai RM6.09 bilion. 

 

Keseluruhan kaunter pula negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 733 berbanding 503 manakala 391 kaunter tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, kaunter utama sarung pengeluar sarung tangan getah di bawah komponen FBM KLCI seperti Top Glove, Supermax dan Hartalega menurun sekurang-kurangnya 6% ketika ditutup petang ini. 

 

"Sentimen pelabur terhadap saham-saham pengeluar sarung tangan getah nampaknya semakin surut apabila Malaysia memulakan program vaksinasi sejak 24 Februari lalu. 

 

"Ini secara tidak langsung menggambarkan prospek yang agak suram bagi permintaan global terhadap sarung tangan getah," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Indeks penjagaan kesihatan muncul antara sektor paling banyak merekodkan kerugian dengan penurunan 1.9%. 

 

Bagaimanapun, katanya, pasaran serantau seperti Jepun, Hong Kong, China dan Filipina merekodkan kenaikan pada Isnin didorong oleh kemajuan dalam pakej rangsangan Amerika Syarikat (AS). 

 

"Keadaan ini mencerminkan keyakinan terhadap ekonomi global sekali gus melonjakkan harga minyak lebih tinggi," katanya. 

 

Ketika ditutup petang ini, saham Top Glove susut 6.49% kepada RM4.9 sesaham manakala Supermax jatuh 9.92% kepada RM4.36. 

 

Saham Hartalega pula menyusut 6.2% kepada RM9.38 sesaham. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit petang ini ditutup kepada RM4.0540/0570 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada RM4.0450/0443 ketika ditutup pada Jumaat.

 

Menurut laporan aliran dana kewangan mingguan MIDF Research, bagi minggu berakhir 26 Februari, ringgit merosot ekoran meningkatnya jangkaan terhadap kadar lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS untuk menahan kenaikan inflasi menyebabkan kecenderungan pelabur terhadap aset berisiko lemah.

 

Ini menyebabkan permintaan ringgit adalah lemah dan susut 0.2% kepada RM4.050 berbanding dolar AS, jelas firma itu. - DagangNews.com