Bursa Securities tolak rayuan penempatan persendirian kedua Pharmaniaga | DagangNews Skip to main content

Bursa Securities tolak rayuan penempatan persendirian kedua Pharmaniaga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - Bursa Malaysia Securities menolak rayuan penempatan persendirian kedua Pharmaniaga Berhad berjumlah kira-kira RM50 juta.

 

Keputusan terbaharu Bursa Malaysia ini memerlukan Pharmaniaga memasukkan penempatan persendirian itu dalan pelan penyusunan semula syarikat selepas diklasifikasi sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17).

 

Sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan kewangannya, syarikat farmaseutikal itu menyediakan pelan penyelarasan yang komprehensif, yang diperlukan oleh penyenaraian pasaran utama Bursa Malaysia.

 

Pelan itu dijangka diserahkan menjelang suku ketiga tahun ini dan ia akan menyerlahkan usaha kumpulan bagi mendapatkan semula kestabilan kewangan serta meningkatkan nilai pemegang saham. 

 

Penyiapan inisiatif itu akan dimuktamadkan pada pada suku pertama 2024.

 

Kumpulan farmaseutikal itu mencatatkan aliran tunai operasi bersih positif RM43.13 juta dalam tempoh enam bulan terakhirnya berakhir 30 Jun 2023, daripada aliran tunai operasi bersih negatif RM135.78 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pada akhir Jun, Pharmaniaga mempunyai pinjaman sebanyak RM1.135 bilion, berbanding deposit, tunai dan baki bank sebanyak RM27.77 juta.

 

Berdasarkan harga terbitan indikatif 35.6 sen dan andaian 140.45 juta saham dikeluarkan, penempatan persendirian kedua itu dijangka meningkatkan hasil kasar kira-kira RM50 juta.

 

Hasil daripada penempatan persendirian itu akan digunakan sebagai langkah sementara untuk merapatkan keperluan modal kerja kumpulan manakala kumpulan itu merangka rancangan untuk menyesuaikan keadaan kewangannya untuk menangani status PN17 mereka.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan penempatan persendirian kedua Pharmaniaga tidak dapat dipertimbangkan: Bursa Securities

 

Pada 27 Julai, Bursa Malaysia memaklumkan kepada Pharmaniaga bahawa mereka "tidak dapat mempertimbangkan" cadangan penempatan persendiri kedua syarikat itu bagi saham baharu kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT); sebaliknya bursa saham mengesyorkan agar penempatan persendirian bersepadu menjadi sebahagian daripada cadangan pelan penyelarasan syarikat. - DagangNews.com