C-Drone ciptaan UTHM dicatat dalam Malaysia Book of Records | DagangNews Skip to main content

C-Drone ciptaan UTHM dicatat dalam Malaysia Book of Records

Profesor Madya Dr Zamri Omar (kanan) bersama anggota pasukannya, Zolhafizi Jaidi menunjukkan sijil Malaysia Book of Records terhadap ciptaan CC-Drone di kampus UTHM, baru-baru ini.

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

BATU PAHAT 20 Sept - Kejayaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mereka cipta dron kargo bersaiz besar pertama di Malaysia dikenali sebagai C-Drone dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR), baru-baru ini.

 

Pencapaian itu menjadi lebih manis kerana UTHM baru sahaja menyambut ulang tahun ke-28 pada Khamis lalu.

 

Ketua Projek C-Drone, Profesor Madya Dr Zamri Omar berkata, kejayaan menempa nama dalam MBR itu adalah bagi kategori beban terberat yang boleh diangkat sesebuah dron.

 

Menurut beliau, C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ia daripada jenis Multirotor Vertical Takeoff and Landing (VTOL).

 

"Saiz prototaip dron kargo UTHM ini kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi, manakala berat kasarnya pula sekitar 400 kilogram," katanya dalam satu kenyataan.

 

Prf Madya Dr Zamri berkata, projek pembangunan C-Drone itu bertujuan menghasilkan suatu 'proof of concept' (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar itu boleh dibina dan berupaya beroperasi dengan baik.

 

Pada percubaan rekod penerbangan, C-Drone berjaya terbang dengan membawa beban kargo seberat 200 kilogram.

 

Projek yang memakan masa kurang dua tahun itu dijayakan sekumpulan penyelidik UTHM yang mempunyai latar belakang pelbagai bidang kepakaran.

 

"Bermula dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang, semuanya dilaksanakan dalam fasiliti makmal projek C-Drone yang berlokasi di kampus induk,'' kata beliau.

 

Dana projek C-Drone ini pula diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebahagian dibiayai UTHM sendiri. - DagangNews.com