Cadangan F&N ambil alih Cocoaland akan luaskan portfolio produk kedua-dua kumpulan | DagangNews Skip to main content

Cadangan F&N ambil alih Cocoaland akan luaskan portfolio produk kedua-dua kumpulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan cadangan Fraser & Neave Holdings (F&N) untuk mengambil alih baki pegangan ekuiti di dalam Cocoaland Holdings Berhad akan mengukuhkan sinergi kedua-dua kumpulan itu selain meluaskan portfolio produk pada masa hadapan.

 

Firma itu berkata, langkah itu adalah sesuatu yang mengejutkan kerana melihat F&N akan memberi fokus untuk mengembangkan portfolio produknya ke arah barangan yang rendah kandungan gula.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya bahawa pengambilalihan itu akan mengukuhkan rancangan F&N dalam mengembangkan segmen pembungkusan makanan halalnya yang akan menjadi nadi utama kepada perkembangan kumpulan.

 

"Kami juga menjangkakan kerjasama yang kukuh dengan F&N akan meluaskan portfolio produknya selain memasarkan produk Cocoaland menerusi rangkaian pengedarannya yang meluas.

 

"Berdasarkan kepada jangkaan kami, pengambilalihan itu akan melonjakkan pendapatan sesaham (EPS) F&N pada CY23-24F antara 0.7% hingga 2.0% seepas mengambil kira kos kewangan tambahan sebanyak RM22 juta CY23-24F dan untung bersih Cocoaland bagi CY23/24F sebanyak RM34.5 juta dan RM41.7 juta.

 

"Pengambilalihan ini dijangka siap sepenuhnya pada 4QFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, F&N bercadang untuk menswastakan Cocoaland dengan mengambil alih kepentingan ekuiti daripada semua pemegang sahamnya pada harga RM488.15 juta atau RM1.50 sesaham.

 

Pengambilalihan itu adalah selari dengan matlamat kumpulan itu untuk menjadi pengeluar makanan dan minuman yang mampan di rantau Asia Tenggara dengan menjadikan makanan halal yang dibungkus sebagai antara pemangkin perkembangan keempat perniagaan mereka.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM25.60 berbanding RM29.80. - DagangNews.com