Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Cadangan kerjasama membabitkan Axiata Group Bhd. dan konglomerat Indonesia, Sinar Mas Group kemungkinan kurang memihak kepada unitnya di negara tersebut menerusi XL Axiata, menurut MIDF Research.
Axiata yang memiliki pegangan 60% dalam XL Axiata seperti dilaporkan Bloomberg pada Jumaat akan meneroka potensi kerjasama dengan Smartfren Telecom yang dimiliki Sinar Mas untuk meningkatkan kecekapan operasi antara kedua-dua pihak.
"Secara dasarnya, kami neutral dengan potensi dengan kerjasama ini meskipun ia masih di peringkat awal perbincangan.
"Tetapi kami berpendapat, ia tidak memberi kelebihan kepada XL Axiata dari segi peluang untuk memanfaatkan potensi daripada pengkalan data rakan kerjasamanya memandangkan Smartfren merupakan salah satu pengendali oeprasi yang kecil di Indonesia," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Axiata, Sinar Mas mahu gabung operasi telekomunikasi di Indonesia?
XL Axiata berada dalam kedudukan ketiga dalam pasaran Indonesia dengan jumlah pelanggan yang besar sebanyak 56.6 juta berbanding Smartfren hanya memiliki 30 juta pengguna.
Susulan cadangan kerjasama itu, menurut Bloomberg saham XL Axiata dan Smartfren masing-masing melonjak. Saham XL Axiata meningkat sehingga 4.5% pada Jumaat, menjadikan permodalan pasaran syarikat kira-kira 32 trilion rupiah (RM9.6 bilion), manakala saham Smartfren menokok setinggi lapan peratus, menilai syarikat itu pada kira-kira 33 trilion rupiah (RM9.9 bilion).
Bagaimanapun, MIDF Research berpendapat potensi kerjasama kedua-dua pihak dijangka tidak memberi kesan ketara kepada pendapatan kumpulan Axiata dalam tempoh terdekat.
Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Axiata dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.62.
Ia melihat Axiata masih merekodkan prestasi pertumbuhan yang kukuh dalam kebanyakan syarikat operasi (OpCos) yang bergerak ke paras sebelum pandemik pada 2020 kecuali bagi Ncell.
"Pada masa akan datang, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan adalah stabil dalam semua operasi OpCos, disokong pengembangan hasil dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA)," jelasnya. - DagangNews.com