Cadangan IJM beli saham Pestech dibatalkan, kerjasama penggantian aerotrain KLIA tidak terjejas | DagangNews Skip to main content

Cadangan IJM beli saham Pestech dibatalkan, kerjasama penggantian aerotrain KLIA tidak terjejas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Rancangan IJM Corporation Bhd membeli 44.83% kepentingan dalam Pestech International Bhd telah dibatalkan tetapi kerjasama Pestech dengan anak syarikat IJM bagi menyiapkan projek penggantian aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak terjejas.

 

Pestech dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembatalan itu disebabkan oleh ketidaksempurnaan syarat duluan menurut perjanjian langganan.

 

Syarikat itu berkata, penamatan bersama itu tidak menjejaskan kerjasama semasa syarikat dengan IJM Construction Sdn Bhd (IJMC) bagi projek penggantian aerotrain KLIA, yang akan disiapkan menjelang suku pertama 2025.

 

"Memandangkan perkara itu, lembaga pengarah memutuskan untuk membatalkan cadangan itu. 

 

"Lembaga pengarah kini sedang meneroka cadangan penjanaan dana alternatif lain untuk memenuhi keperluan pembiayaannya, yang butirannya akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

 

Tawaran IJM Corp untuk Pestech dianggap sebagai talian hayat kepada syarikat itu yang mengalami halangan besar apabila Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menamatkan kontraknya untuk mereka bentuk dan membekalkan projek aerotrain KLIA bernilai RM743 juta, pada Ogos 2023.

 

Bagaimanapun, MAHB memeterai perjanjian dengan Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd dan kerjasama yang melibatkan IJMC dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV) untuk menyiapkan projek penggantian aerotrain KLIA.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, cadangan pemerolehan kepentingan itu seharusnya selepas pada suku keempat 2023 tetapi telah dilanjutkan beberapa kali.

 

Katanya, IJM Corp akan membelanjakan RM124 juta untuk 800 juta saham dalam Pestech kerana mereka berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran Pestech dalam transmisi tenaga dan elektrifikasi rel melalui cadangan pemerolehan.

 

"Pestech mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM33.6 juta, yang menjadikan kerugian bersih terkumpul untuk 1HFY24 sebanyak RM72.8 juta.

 

"Penggearan bersihnya tinggi pada kira-kira 2.6x. Kami melihat penamatan perjanjian itu sebagai positif untuk IJM, yang perlu mengambil kira kerugian Pestech," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.89 sesaham. - DagangNews.com