Cadangan penempatan persendirian tidak akan keluarkan Pharmaniaga daripada status PN17 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Cadangan penempatan persendirian tidak akan keluarkan Pharmaniaga daripada status PN17 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Cadangan penempatan persendirian kedua Pharmaniaga Berhad tidak akan mengeluarkan kumpulan itu daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Kenanga Research berkata, penempatan persendirian itu adalah yang kedua selepas mereka melaksanakannya buat kali pertama lebih daripada sebulan lalu.

 

Firma itu berkata, walaupun ia tidak membantu mengeluarkan kumpulan itu daripada status PN17 namun hasil yang dikumpul akan membantu membiayai modal kerjanya sambil memberi masa untuk mereka merumuskan rancangan untuk menysusun semula keadaan kewangannya.

 

"Kami neutral terhadap langkah itu kerana dilihat sebagai usaha sementara kumpulan bagi mencari jalan penyelesaian menyeluruh untuk keluar daripada PN17," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu mengumumkan penempatan persendirian sehingga 144 juta saham baharu atau 10% daripada jumlah saham terbitannya kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian.

 

Penempatan persendirian yang dicadangkan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini dan ia adalah cadangan kedua bagi saham baharu yang dijalankan oleh Pharmaniaga.

 

Pada Jun 2023, kumpulan itu mencadangkan untuk melaksanakan penempatan persendirian 131 juta saham baharu yang harganya baru-baru ini ditetapkan pada 35 sen sesaham kepada pelabur pihak ketiga.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu yakin dengan prospek masa hadapan dengan pelan strategiknya untuk pulih daripada PN17 dan kini sedang merangka pelan penyusunan semula.

 

"Kami mengunjurkan pertumbuhan pendapatan pada FY23 pada tahap yang sama seperti sebelum COVID-19, dengan purata RM40 juta hingga RM60 juta didorong oleh pesanan tetap untuk bekalan perubatan daripada konsesi Kementerian Kesihatan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 33 sen sesaham.- DagangNews.com