Cadangan penswastaan MAHB berisiko terbatal, kata Mercury Securities | DagangNews Skip to main content

Cadangan penswastaan MAHB berisiko terbatal, kata Mercury Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Mercury Securities menjangkakan bidaan penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd boleh terbatal sekiranya berlaku sebarang perkara di luar jangkaan.

 

"Namun begitu, kami percaya risiko itu adalah terhad walaupun dalam kes ini, kerana asas MAHB kekal kukuh," kata firma penyelidikan itu.

 

Katanya, satu daripada empat prasyarat telah pun dipenuhi. Pada 13 Jun, MAHB mengumumkan, Pihak Berkuasa Am Untuk Persaingan Arab Saudi (GAC) telah mengeluarkan sijil yang mengesahkan perjanjian penswastaan ​​tidak memerlukan pemberitahuan kepada GAC.

 

 

Kelulusan selebihnya diperlukan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Persaingan Turki dan Pihak Berkuasa Persaingan Mesir.

 

Terdahulu MAHB telah menerima tawaran pengambilalihan daripada sekumpulan pelabur yang termasuk pemegang saham utamanya adalah Khazanah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Airports telah penuhi satu daripada empat prasyarat penswastaan

 

Konsortium diterajui Khazanah, bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York, dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), bersama-sama menawarkan RM11 sesaham untuk membeli semua baki saham yang belum dimiliki.

 

Di bawah syarat-syarat cadangan, konsortium akan membeli semua baki 1.12 bilion saham MAHB yang tidak dimiliki pada masa tersebut, mewakili 58.77% pegangan, dengan harga RM11 setiap saham

 

Mercury Securities menjangkakan, MAHB akan didagangkan hampir kepada harga tawaran RM11.00 sebaik sahaja semua prasyarat dipenuhi dan tawaran rasmi dibuat, dengan langkah penswastaan ​​dianggarkan selesai menjelang suku keempat 2024.

 

Firma penyelidikan itu menyerlahkan asas kukuh MAHB, dengan pengendali lapangan terbang merekodkan sejumlah 65 juta pergerakan penumpang pada separuh pertama 2024, mewakili pertumbuhan 15.8% tahun ke tahun dan hampir kembali ke tahap pra pandemik kira-kira 95.4%.

 

Sebelum pengumuman pengambilalihan pada Mei 2024, purata harga sasaran konsensus untuk MAHB ialah RM9.70, dengan julat RM8.50-11.30, menurut 15 penganalisis yang ditinjau oleh Bloomberg.

 

Harga saham MAHB berada pada aliran menaik sejak 2020, menunjukkan corak paras tertinggi yang lebih tinggi dan paras terendah yang lebih tinggi.

 

"Arah aliran kenaikan harga disahkan lagi apabila harga saham menembusi corak saluran menaik dengan momentum kukuh pada akhir 2023," katanya.- DagangNews.com