Cadangan pertukaran nama Air Asia Group beri identiti baharu selaras dengan transformasi syarikat | DagangNews Skip to main content

Cadangan pertukaran nama Air Asia Group beri identiti baharu selaras dengan transformasi syarikat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - AirAsia Group. Berhad membuat cadangan untuk menukar nama syarikat kepada Capital A Berhad dalam usaha memberikan identiti baharu selaras dengan perubahan syarikat daripada perniagaan penerbangan kepada pelancongan digital dan entiti perkhidmatan gaya hidup.

 

Cadangan itu akan dikemukan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa (EGM) pada 27 Januari 2022 bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham.

 

Menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada pemegang saham, AirAsia Group berkata, perubahan struktur itu akan membantu perkembangan syarikat dalam perniagaan pada masa akan datang. 

 

"Kami percaya nama baharu syarikat akan meningkatkan perkembangan syarikat dan selaras dengan matlamat kami untuk menghubungkan orang ramai. 

 

"Ia akan menetapkan hala tuju syarikat dalam perniagaan baharu dan meredakan kebimbangan ramai terhadap syarikat yang dikenali dengan perniagaan penerbangan. 

 

"Ahli lembanga kami sudah membuat pertimbangan dengan cadangan pertukaran nama itu dan berpendapat bahawa cadangan berkenaan adalah demi kepentingan terbaik syarikat. Oleh itu anda disarankan untuk menyokong resolusi pertukaran nama yang akan dibentangkan pada EGM syarikat," kata AsiaAsia dalam pemaklumannya kepada pemegang saham syarikat hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Air Asia cadang tukar nama kepada Capital A

 

AirAsia Group berkata, EGM itu akan diadakan secara maya pada 27 Januari 2022 pada pukul 3 petang dan kemudahan mengundi akan diuruskan oleh Tricor Investor & Issuing House Services Sdn. Bhd.

 

Pada pukul 12.30 tengah hari di Bursa Malaysia, hari ini, saham AirAsia Group turun sebanyak satu sen atau 1.23% pada harga 80 sen, membolehkan mereka meraih modal pasaran sebanyak RM3.05 bilion berdasarkan kepada terbitan saham syarikat sebanyak 3.81 bilion.

 

AirAsia Group menyaksikan sejumlah 3.77 juta saham bertukar tangan. - DagangNews.com