Cadangan rangka kerja Mavcom boleh jejaskan pelan pengembangan MAHB | DagangNews Skip to main content

Cadangan rangka kerja Mavcom boleh jejaskan pelan pengembangan MAHB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Ogos - AmBank Investment Bank Research bimbang dengan kesan negatif terhadap keupayaan aliran tunai Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk membiayai perbelanjaan penyelenggaraan dan pengembangannya tanpa kenaikan tarif berikutan pelaksanaan rangka kerja berasaskan kos (RAB) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). 

 

Bagaimanapun, firma itu menyambut baik cadangan Mavcom untuk menggalakkan pelaburan dan operasi lapangan terbang yang cekap di samping memastikan caj lapangan terbang yang stabil dikenakan ke atas pengguna.

 

Pada 10 Ogos lalu, Mavcom telah mengeluarkan kertas rundingan berkaitan rangka kerja jangka panjang bagi pengawalseliaan caj perkhidmatan penerbangan yang dicadangkan untuk mengekalkan tarif lapangan terbang pada paras semasa (diselaraskan berdasarkan kadar inflasi).

 

Cadangan itu, yang melibatkan pelaksanaan tertunggak RAB berasaskan kos dalam menetapkan tarif lapangan terbang, terutamanya bertujuan untuk mengurangkan kenaikan mendadak dalam caj lapangan terbang dalam keadaan volum penumpang yang lebih rendah dan tidak dapat diramalkan.

 

Dengan mengandaikan bahawa komponen lain rangka kerja RAB, termasuk kos operasi dan asas aset kekal tidak berubah, menekankan jumlah penumpang pada masa ini berbanding tahap sebelum pandemik akan meningkatkan hasil terkawal bagi setiap penumpang yang akhirnya membawa kepada caj lapangan terbang yang lebih tinggi secara material.

 

Namun, AmInvestment berkata, cadangan Mavcom mungkin tertakluk kepada perubahan selanjutnya kerana ia masih terlibat secara meluas dengan pemegang kepentingan utama sebelum memuktamadkan kadar tarif untuk Tempoh Kawal Selia 1 (RP1) (2023-2025).

 

Katanya, MAHB pula kekal yakin untuk melaksanakan perbelanjaan modal (capex) yang dirancang tanpa caj lapangan terbang yang lebih tinggi, terutamanya melalui perancangan berhemat dan pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembesaran.

 

"Sebagai contoh, untuk projek aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang membabitkan kos keseluruhan RM743 juta, MAHB hanya perlu membayar RM100 hingga RM150 juta sebagai bayaran pendahuluan kerana ia akan mula membayar kos pembinaan RM350 juta secara berperingkat sepanjang enam tahun selepas projek siap pada akhir 2025 atau awal 2026.

 

"Sementara itu, baki RM200 juta yang diperuntukkan untuk kos penyelenggaraan akan dibayar dalam tempoh 10 tahun dari 2025 hingga 2034," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Kenanga Research turunkan penarafan sektor penerbangan kepada 'neutral' ekoran cadangan Mavcom kekalkan kadar tarif

 

Menurutnya, analisis Mavcom menunjukkan purata caj perkhidmatan penumpang (PSC) dalam kerangka kerja RAB berkemungkinan dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada PSC semasa. 

 

Jika dilaksanakan, firma itu menganggarkan ia akan meningkatkan pendapatan MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24 sebanyak 17 hingga 45%. 

 

"Bagaimanapun, jika trafik penumpang pulih ke tahap sebelum pandemik dalam tempoh jangka panjang, analisis awal kami mencadangkan bahawa PSC akan menyederhana antara 28 hingga 35% dengan impak minimum kepada pendapatan," jelasnya.

 

Oleh itu, AmInvestment berkata, Mavcom mencadangkan mengekalkan tarif lapangan terbang pada paras semasa selepas melaraskan kadar inflasi bagi tempoh RP1 dengan rangka kerja RAB mula berkuat kuasa dalam tempoh kawal selia kedua (RP2) dari 2026 hingga 2028.

 

Firma itu mendapati MAHB mempunyai beberapa projek penyelenggaraan dan pembesaran yang dirancang antaranya menaik taraf sistem pengendalian bagasi dalam rangkaian lapangan terbang dan pengembangan kapasiti untuk lapangan terbang di Langkawi dan Pulau Pinang.

 

"Walaupun pembiayaan yang besar diperlukan, tetapi kami menjangkakan kumpulan dapat mengekalkan kedudukan kunci kira-kira dengan baik dan pembayaran dividen yang stabil, dibantu oleh capex yang berhemat dan pemulihan pendapatan selepas COVID-19," katanya.

 

Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap MAHB dengan nilai wajar tidak berubah pada RM6.80 sesaham. 

 

AmInvestment menjangkakan MAHB akan merekodkan prestasi yang kukuh bagi suku ke suku pada suku kedua ini dengan kerugian yang lebih kecil disokong peningkatan dalam aliran trafik penumpang.

 

Ini berdasarkan kepada data pada Julai 2022 yang menunjukkan pergerakan penumpang MAHB bagi rangkaian lapangan terbangnya berjumlah 7.8 juta bersamaan 62.2%, paras seperti sebelum pandemik.

 

Malaysia merekodkan 4.8 juta keseluruhan pergerakan penumpang, dengan sektor antarabangsa mencatatkan jumlah tertinggi baharu seramai 1.6 juta penumpang sejak pandemik bermula dan sektor domestik kekal dengan jumlah di atas tiga juta.

 

Setakat 12.13 tengah hari ini, harga saham MAHB kekal tidak berubah pada RM6.20 dengan 349,100 saham diniagakan. - DagangNews.com