Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Cadangan AirAsia Group Berhad (AAGB) untuk mewujudkan dua skim insentif kepada pekerja yang layak dilihat sebagai langkah terbaik yang diambil syarikat berkenaan.
MIDF Research berkata, langkah yang diambil syarikat penerbangan tambang murah itu mampu menjimatkan aliran tunai.
"Kami berpendapat bahawa skim yang dicadangkan itu adalah langkah terbaik yang diambil kumpulan kerana ia bukan sahaja memberi ganjaran kepada kakitangan, malah mampu menjimatkan wang kerana insentif tersebut sebahagiannya akan menggantikan pampasan tunai kepada pekerja.
"Ini akan selaras antara kepentingan kakitangan dan pemegang saham kerana kedua-dua pihak akan memperoleh keuntungan daripada kenaikan harga saham AAGB," jelas MIDF Research.
AirAsia dalam pengumuman di Bursa Malaysia baru-baru ini mencadangkan untuk mewujudkan dua skim insentif kepada pekerja dan pengarah yang layak iaitu Employee Share Option Scheme (ESOS) dan Share Grant Scheme (SGS).
Skim insentif yang dicadangkan itu tidak melebihi 10% daripada jumlah saham terbitan kumpulan pada satu-satu masa.
Skim insentif itu juga akan berlangsung selama enam tahun dan berkemungkinan akan dilanjutkan hingga 10 tahun daripada tarikh berkuat kuasa.
Jumlah maksimum saham yang akan diterbitkan di bawah skim insentif tersebut adalah sebanyak 401.04 juta saham.
Harga saham baharu diandaikan bernilai RM0.70 dengan tambahan RM280.73 juta yang akan ditambah dalam modal saham semasa pelaksanaan skim berkenaan.
Ujar MIDF Research, pihaknya bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan dalam anggaran pendapatan syarikat berkenaan.
MIDF Research turut mengekalkan saranan 'jual' saham AirAsia dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM0.37. - DagangNews.com