Cadangan terbitan bonus Public Bank dijangka tarik minat pelabur | DagangNews Skip to main content

Cadangan terbitan bonus Public Bank dijangka tarik minat pelabur

Public Bank Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Pengumuman Cadangan Terbitan Bonus yang dilakukan oleh Public Bank Berhad (Public Bank) dijangka memberi daya tarikan saham kepada para pelabur.

 

MIDF Research berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada prestasi pendapatan kumpulan Public Bank yang konsisten.

 

"Memandangkan prestasi pendapatan kumpulan yang konsisten, kami menjangkakan bahawa ini (cadangan terbitan bonus) akan meningkatkan daya tarikan saham kepada pelabur.

 

"Penurunan pendapatan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20) masih berada dalam jangkaan kami.

 

"Kami percaya bahawa prestasi akan bertambah baik dan diserlahkan oleh pendapatan yang lebih tinggi berdasarkan suku tahunan," jelas MIDF Research

 

Semalam, kumpulan Public Bank membuat pengumuman berkaitan Cadangan Terbitan Bonus yang memerlukan penerbitan hingga 15,528,553,388 saham bonus dengan empat saham bonus bagi sesaham yang sedia ada.

 

Setelah langkah itu disempurnakan, ia akan memperluas terbitan sahamnya daripada 3,882,138,347 saham kepada 19,410,691,735 saham.

 

Langkah tersebut dijangka selesai pada suku pertama tahun kewangan 2021.

 

Bagi MIDF Research , pihaknya memberi penilaian positif terhadap isu bonus berkenaan yang dapat memberi penghargaan kepada barisan pemegang saham selain meningkatkan kecairan dan kemampuan saham.

 

Harga saham ex-bonus kumpulan adalah sekitar RM3,593 berdasarkan 5-hari VWAP, namun harga sasaran ex-bonus secara teori bagi MIDF Research pula pada kadar RM4.10.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' saham Public Bank dan menjangkakan bahawa tahun kewangan 2021 akan menunjukkan peningkatan dalam pendapatan sebagaimana jangkaan kami dalam kos kredit yang lebih rendah.

 

"TP (harga sasaran sesaham) tidak berubah sebanyak RM20.50," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com