Caely bakal jalin kerjasama dengan Indonesia untuk segmen pembuatan pada suku pertama 2023 | DagangNews Skip to main content

Caely bakal jalin kerjasama dengan Indonesia untuk segmen pembuatan pada suku pertama 2023

Gambar NST
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 21 Okt - Caely Holdings Berhad (Caely) merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan Indonesia untuk mengembangkan segmen pembuatannya yang dijangka bermula pada awal suku pertama tahun hadapan. 

 

Syarikat berpangkalan di Perak itu merancang untuk melabur sebanyak AS$800,000 untuk segmen pembuatan pakaian dalam wanitanya. 

 

Pengarah Eksekutif Caely, Leong Seng Wui berkata, walaupun sedang berdepan dengan pelbagai cabaran, kumpulan tetap komited untuk mengekalkan operasi harian. 

 

“Kami masih dalam proses perbincangan tentang berapa peratus yang akan diambil alih oleh Caely. Kami menjangkakan akan melakukan usaha sama itu pada awal suku pertama 2023. 

 

“Walaupun dibelenggu oleh kes saman undang-undang terhadap bekas lembaga pengarah syarikat, kami merasa ini adalah masa yang sesuai untuk mengembangkan perniagaan. 

 

“Cabaran itu tidak akan menjejaskan operasi syarikat dan ia tidak akan menghalang kami daripada terus mengembangkan perniagaan. 

 

“Kami percaya, usaha sama itu akan membantu kami dalam penjimatan kos dan kecekapan pengeluaran. 

 

 

caely
(Dari kiri) Chong Seng Ming, Kenny Khow Chuan Wah, Ng Keok Chai, Leong Seng Wui dan Datuk Kang Chez Chiang ketika sidang akhbar Caely di Petaling Jaya pada 21 Oktober 2022.

 

 

“Kami akan terus meningkatkan kedudukan kami dengan melancarkan inisiatif penting yang akan membantu menjamin kejayaan berterusan syarikat di masa depan,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Caely, Ng Keok Chai; Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Chong Seng Ming; Pengarah Eksekutif, Kenny Khow Chuan Wah dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Datuk Kang Chez Chiang.

 

Leong berkata, selain itu, kumpulan juga akan menyusun semula hala tuju syarikat dengan mengenal pasti dan melibatkan pakar pasaran dalam segmen pembangunan hartanah dalam memulihkan perniagaan. 

 

“Dengan tambahan simpanan tanah di Tapah dan Lembah Klang, kami akan mengambil pakar dalam sektor pembangunan hartanah untuk mengenal pasti projek berpotensi yang akan menyumbang secara positif kepada kumpulan,” katanya. 

 

Sementara itu, Caely telah melantik lembaga pengarah baharu kumpulan yang terdiri daripada Ng Keok Chai sebagai Pengerusi Eksekutif, Leong Seng Wui dan Kenny Khow Chuan Wah sebagai Pengarah Eksekutif, manakala Datuk Kang Chez Chiang, Krishnan Dorairaju, Chong Seng Ming dan Datuk Mior Faridalathrash Wahid sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas. - DagangNews.com