Cagamas berjaya kumpul dana sebanyak RM24.9 bilion pada 2022, tertinggi sejak 1999 | DagangNews Skip to main content

Cagamas berjaya kumpul dana sebanyak RM24.9 bilion pada 2022, tertinggi sejak 1999

KUALA LUMPUR 5 Jan - Cagamas Berhad menamatkan 2022 dengan jumlah dana tertinggi sebanyak RM24.9 bilion iaitu 30% lebih tinggi berbanding 2021 dan tertinggi sejak 1999. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, ia merupakan pengakhiran terbaik untuk tahun yang bermakna buat syarikat itu.

 

"Cagamas tetap komited terhadap usaha dalam memenuhi mandarnya sebagai pengantara kewangan antara pasaran modal dan sektor perumahan Malaysia walaupun berhadapan persekitaran global yang mencabar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Syarikat itu juga mengumumkan kejayaan memuktamadkan Nota Jangka Sederhana Konvensional dan Nota Jangka Sederhana Islam berbilang tempoh berjumlah RM3.19 bilion baru-baru ini.

 

Katanya, hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah daripada sistem kewangan domestik.

 

Nota-nota itu akan ditebus pada nilai nominal penuhnya apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, sama rata dan tanpa keutamaan dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat yang lain.

 

Cagamas merupakan penerbit instrumen hutang kedua terbesar selepas Kerajaan Malaysia dan penerbit bon korporat dan sukuk AAA terbesar dalam pasaran. 

 

Sejak diperbadankan pada 1986, Kumpulan Cagamas secara terkumpul telah menerbitkan bon korporat dan sukuk bernilai kira-kira RM391 bilion.

 

Bon dan sukuk Cagamas terus diberikan penarafan tertinggi AAA/Stabil/P1 oleh RAM Rating Services Berhad dan AAA/MARC-1 serta  AAAIS/MARC-1IS oleh MARC Ratings Berhad, menandakan kualiti kreditnya yang kukuh. - DagangNews.com