Cagamas terbit bon RM1 bilion bagi pembiayaan pembelian perumahan daripada sistem kewangan domestik | DagangNews Skip to main content

Cagamas terbit bon RM1 bilion bagi pembiayaan pembelian perumahan daripada sistem kewangan domestik

KUALA LUMPUR 7 April - Cagamas Berhad berjaya menetapkan harga Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) lima tahun bernilai RM1 bilion untuk membiayai pinjaman pembelian perumahan daripada sistem kewangan domestik.

 

Urus niaga itu mewakili terbitan CMTN lima tahun yang terbesar oleh Perbadanan Gadai Janji Nasional Malaysia sejak Disember 2017.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong, berkata kejayaan memuktamadkan bon itu mencerminkan daya tahan terhadap situasi pasaran yang tidak menentu berikutan tekanan yang terus meningkat dalam hasil bon domestik.

 

"Ini mencerminkan pergerakan bon global apabila lebih banyak negara beralih secara progresif ke arah pengurusan endemik COVID-19.

 

"CMTN, ditetapkan harga melalui penempatan persendirian, berjaya ditetapkan harga dengan tebaran 22 mata asas melebihi Sekuriti Kerajaan Malaysia yang setara," katanya, lapor Bernama.

 

Terbitan baharu itu menjadikan terbitan agregat Cagamas bagi tahun ini kepada RM5.3 bilion.

 

Chee Leong berkata, kertas itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya selepas tempoh matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, berada di kedudukan setara (pari passu) dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada Cagamas. - DagangNews.com