Canon anjur aktiviti kesedaran pemuliharaan burung di Sungai Tembus | DagangNews Skip to main content

Canon anjur aktiviti kesedaran pemuliharaan burung di Sungai Tembus

(Dari kiri) Daren Tan, Pengasas SPMP, Dr Nur Munira Azman; Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Azhar Arshad; Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri Sundarajoo Somu bersama-sama para peserta mendengar penerangan mengenai peranan Penaga Wetlands sebagai habitat penting burung pesisir pantai dan destinasi ekopelancongan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Canon Marketing Malaysia bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Projek Burung Pesisir Pantai Semenanjung Malaysia (SPMP) bagi menganjurkan siri aktiviti kesedaran pemuliharaan burung di Sungai Tembus, Pulau Pinang sempena Hari Tanah Lembap Sedunia. 

 

Canon berkata, pihaknya telah menaja pembangunan laman web mikro tersebut yang diwujudkan oleh SPMP, sebuah unit penyelidikan bebas yang menumpukan kepada usaha pemuliharaan burung pesisir pantai. 

 

"Platform ini menyediakan maklumat komprehensif mengenai lebih 70 spesies burung pesisir pantai, berserta dengan lokasi spesifik untuk memerhati burung ini di Malaysia. Selain itu, ia turut menyediakan ruangan khusus yang menampilkan pengalaman para pemerhati burung menggunakan kamera Canon, serta tip dan panduan mengenai fotografi. 

 

"Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan burung pesisir pantai dan habitat mereka, sambil memberi penekanan terhadap hubungan kompleks antara spesies burung ini dan kawasan tanah lembap yang menjadi habitat mereka, selari dengan matlamat Hari Tanah Lembap Sedunia," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Cawangan Pulau Pinang Canon Marketing Malaysia, Daren Tan berkata, berpegang kepada falsafah korporat ‘Kyosei’, yang menekankan idea masyarakat hidup dan bekerja bersama-sama secara harmoni demi kebaikan sejagat.

 

"Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan rakan strategik dan memainkan peranan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem ini bagi memastikan ia kekal mampan," katanya.

 

Selari dengan mesej utamanya, "Imaging for Good," syarikat itu kekal komited ke arah memupuk sebuah masyarakat yang lebih baik dan lebih mampan, berteraskan pendidikan, penjagaan komuniti, alam sekitar, dan peningkatan budaya. 

 

 

canon

 

 

Canon sentiasa aktif dalam melaksanakan inisiatif yang selari dengan wawasannya, memberikan penekanan terhadap kepentingan pengimejan sambil menerapkan elemen sumbangan sosial ke dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan, bertujuan untuk mencipta sebuah dunia yang lebih cemerlang dan lebih menawan untuk semua. 

 

Acara itu merupakan salah satu daripada inisiatif pemuliharaan berterusan Canon di Sungai Tembus, yang telah diiktiraf sebagai Kawasan Bidiversiti Utama. 

 

 

canon

 

 

Pada 2023, syarikat itu telah menanam 200 pokok bakau di Sungai Tembus, menyumbang kepada usaha pemuliharaan hutan dara dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan ekologi. - DagangNews.com