Proton anjur pertandingan teka nama model kereta elektrik pertama | DagangNews Skip to main content

Proton anjur pertandingan teka nama model kereta elektrik pertama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net) yang merupakan anak syarikat milik Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) mengumumkan pertandingan meneka dan menyahkod jenama Proton EV yang terbaharu.

 

Pengedar kenderaan tenaga baharu (NEV) itu dalam satu kenyataan berkata, pertandingan itu adalah sebahagian daripada persediaan mereka bagi melancarkan kereta elektrik pertama pada masa akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pertandinga itu berfungsi sebagai bukti komitmen Proton bagi menerajui teknologi automoti masa depan di Malaysia.

 

“Pertandingan ini bukan hanya sekadar menamakan jenama tetapi kami ingin menjemput rakyat Malaysia untuk menjadi komuniti penting dalam membentuk mobiliti lestari masa hadapan. 

 

"Proton sangat menghargai sokongan rakyat Malaysia selama 41 tahun ini dan berhasrat untuk memulakan perjalanan EV ini bersama mereka yang berada di barisan hadapan dalam menerajui visi kami," katanya.

 

Pro-Net berkata, pemenang utama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 manakala tempat kedua sebanyak RM1,500 dan tempat ketiga meriah wang tunai sebanyak RM1,000.

 

Selain itu katanya, lima peserta teratas akan diberi menerima ganjaran sebanyak RM100 setiap seorang.

 

Mereka yang berminat boleh mengisi borang pendaftaran di https://protonev.pronet.my serta nyahkod dan susun semula imej atau kenyataan yang diberikan.

 

“Peserta kemudian perlu kongsi pautan pertandingan kepada rakan-rakan untuk menyertainya.

 

“Pertandingan berakhir pada 5 Jun 2024. Untuk maklumat lanjut, ikuti ProtonCarsOfficial di Facebook atau @protoncars di Instagram,” katanya. - DagangNews.com