Kerajaan beri peruntukan RM2.6 bilion kepada Felda, Felcra dan Risda pada 2025 | DagangNews Skip to main content

Kerajaan beri peruntukan RM2.6 bilion kepada Felda, Felcra dan Risda pada 2025

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion untuk Felda, Felcra dan Risda bagi 2025, meningkat daripada RM2.4 bilion yang diperuntukkan untuk 2024.

 

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, kerajaan akan memulakan projek perintis bagi perolehan baja melalui proses tender terbuka.

 

“Kerajaan akan memperuntukan RM65 juta untuk membangunkan infrastruktur pengairan dan saliran untuk jelapang padi dan memperluaskan ladang padi Felcra di Sabah dan Sarawak,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini. 

 

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan bercadang nilai ambang levi ke atas keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa minyak sawit telah dinaikkan kepada RM3,150 untuk Semenanjung Malaysia dan RM3,650 untuk Sabah dan Sarawak.

 

Beliau juga berkata kadar duti eksport minyak sawit mentah akan disemak mulai 1 November tetapi dikekalkan untuk Sabah dan Sarawak.

 

“Kami juga akan meneruskan memberi insentif kepada pekebun kecil yang menanam semula kelapa sawit bagi menggantikan pokok kelapa sawit yang tidak produktif, dengan peruntukan RM100 juta.

 

“Kerajaan juga akan memperuntukkan RM20 juta untuk memulihkan ladang getah swasta yang terbiar,” katanya.- DagangNews.com