Belanjawan 2025: Kerajaan salur RM900 juta, laksanakan 48 Program Residensi Rakyat  | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025: Kerajaan salur RM900 juta, laksanakan 48 Program Residensi Rakyat 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kerajaan memberi peruntukan RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat (RMR). 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada 48 PRR sebanyak 30 projek dijangka siap menjelang penghujung 2025 yang bakal memanfaatkan hampir 17,500 penghuni baharu.

 

“Kerajaan juga akan turut meluluskan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sebanyak RM12.8 bilion yang akan dimaanfatkan oleh lebih 57,000 pembeli rumah pertama.

 

“Kami juga akan memberi peruntukkan kepada maksimum RM90,000 untuk menaikkan bantuan pembinaan rumah baharu kepada golongan rakyat berpendapatan rendah, termasuk penghuni Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), nelayan dan penduduk Kampung Baru Cina,” katanya semasa pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

 

PM_Bajet2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan rumah strata kos rendah dan sederhana dengan memperuntukkan hampir RM200 juta untuk menggantikan lif-lif usang di bangunan berkenaan. 

 

Selain itu, kerajaan juga akan menaik taraf 48 buah Taman Awam Madani di bandar-bandar kecil dengan peruntukan RM100 juta untuk meningkatkan kawasan rekreasi serta landskap.

 

Dalam usaha menggalakkan pemilikan rumah pertama, kerajaan juga mencadangkan pemberian pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan.

 

“Sementara itu kerajaan akan terus menjamin pembiayaan perumahan sehingga RM10 bilion bagi manfaat 20,000 pembeli rumah.

 

“Kadar siling baik pulih rumah rakyat juga ditingkatkan kepada maksimum RM20,000,” katanya.- DagangNews.com