IPOH 26 Dis – Canon Marketing Malaysia memeterai kerjasama dengan Tourism Perak sebagai penaja rasmi sempena sambutan Tahun Melawat Perak 2024.
Kerjasama strategik selama setahun ini juga akan mengukuhkan lagi industri pelancongan di Perak dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi Canon.
Antaranya termasuk menganjurkan pertandingan fotografi dan videografi, bersama-sama dengan bengkel khusus untuk merangsang kreativiti peminat fotografi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Shunji Yoshikai berkata, pihaknya bersedia untuk mempamerkan daya tarikan Perak kepada dunia.
“Melalui kerjasama ini, kita menyasarkan bukan sahaja untuk memperkenalkan keindahan negeri ini malah dapat memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Inisiatif ini juga merupakan langkah strategik untuk menarik lebih ramai pelancong global untuk menerokai kepelbagaian keunikan Perak,” ujarnya.
Terdahulu, beliau memeterai kerjasama tersebut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Sementara itu, Nurmalis memberitahu pembabitan Canon Marketing Malaysia dalam mempromosikan pelancongan Perak amat diperlukan.
“Ini adalah usaha bersama untuk mempromosikan keindahan produk pelancongan Perak melalui rakaman imej berkualiti tinggi.
“Kerjasama ini melibatkan penajaan, bengkel, pertandingan selain memperkenalkan produk Canon,” ujarnya.- DagangNews.com