Capaian 4G di Kampung Watt Paya Mat Inson menjelang Februari 2021 | DagangNews Skip to main content

Capaian 4G di Kampung Watt Paya Mat Inson menjelang Februari 2021

Tangkap layar Jalan Kampung Paya Mat Insun, Pendang, Kedah.

Tangkap layar Jalan Kampung Paya Mat Insun, Pendang, Kedah.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Masyarakat siam di perkampungan Watt Paya Mat Inson, Pendang, Kedah bakal menikmati capaian jalur lebar mudah alih 4G menjelang Februari tahun hadapan.

 

Perkara tersebut dibincangkan dalam satu sesi dialog penduduk bersama Exco Penerangan Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna Kedah, Wan Romani Wan Salim bersama Pengerusi SKMM semalam.

 

"Pihak SKMM akan berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaan naik taraf liputan 3G sedia ada di kampung tersebut kepada 4G, termasuk di kampung sekitar seperti Kampung Baloh dan Kampung Huma.

 

"Kerja naik taraf peralatan di menara yang terdapat di kampung itu yang memang telah ada dalam perancangan kini akan cuba diselesaikan pada bulan Februari 2021," jelas SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, penduduk kampung berkenaan mengalami masalah kesesakan talian dan kukurangan kapasiti yang menjejaskan kelajuan data mudah alih.

 

SKMM
SKMM

 

Akibatnya, proses pembelajaran anak-anak yang menggunakan saluran dalam talian tidak dapat dilakukan disebabkan faktor kelajuan jalur lebar yang tidak memuaskan.

 

Tambah SKMM, penilaian lanjut akan turut dijalankan bagi memastikan kelompongan liputan di kawasan sekitar kampung berkenaan dapat diperbaiki. 

 

"Dengan terlaksananya penaiktarafan ini kelak, penduduk akan dapat menikmati liputan perkhidmatan 4G yang mampu memberikan pengalaman jalur lebar yang lebih baik, terutamanya ketika anak-anak mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

 

"Inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) yang sedang dilaksanakan oleh SKMM bersama syarikat-syarikat telekomunikasi menetapkan sasaran meluaskan liputan 4G kepada 96.9% kawasan berpenduduk menjelang akhir 2022.

 

"Purata kelajuan Internet mudah alih juga akan ditingkatkan kepada 35Mbps," tambah SKMM lagi. - DagangNews.com