Capital A catat untung bersih RM836.98 juta bagi FY23, keluar daripada kerugian era pandemik | DagangNews Skip to main content

Capital A catat untung bersih RM836.98 juta bagi FY23, keluar daripada kerugian era pandemik

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Feb - Capital A Berhad kembali pada landasan keuntungan apabila mencapai untung bersih RM836.98 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) daripada kerugian bersih RM2.62 bilion pada FY22.

 

Hasil untuk tahun penuh meningkat lebih dua kali ganda kepada RM14.77 bilion daripada RM6.44 bilion setahun sebelumnya, katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

Peningkatan dalam untung bersih dengan pengiktirafan keuntungan sebanyak RM1.36 bilion daripada pengukuran semula syarikat bersekutu kepada anak syarikat, Asia Aviation PCL Group (AAV) dan peningkatan keseluruhan perniagaan penerbangan.

 

Untung bersih Capital A Bhd suku akhir 2023 bagaimanapun merosot diseret oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, susut nilai aset dan kos pembiayaan yang lebih tinggi.

 

Kerugian bersih suku tahun berakhir 31 Disember 2023 ialah RM159.57 juta berbanding keuntungan bersih RM109.95 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Capital A. 

 

Hasil, bagaimanapun, meningkat lebih daripada dua kali ganda tahun ke tahun kepada RM4.86 bilion daripada RM2.20 bilion berikutan pemulihan kukuh permintaan perjalanan domestik dan antarabangsa.

 

"Pada suku keempat, 93% daripada hasil Kumpulan adalah disebabkan oleh segmen penerbangan manakala perniagaan logistik, digital dan lain-lain menyumbang baki 7% kepada Kumpulan," katanya.

 

Mengenai prospek bagi segmen penerbangan, Capital A berkata, walaupun tekanan kos kekal tinggi, terutamanya daripada mata wang Asean yang lemah, ia telah melaksanakan langkah kawalan yang membolehkan kumpulan itu terus menawarkan tambang menarik.

 

"Dengan sasaran pengaktifan semula pesawat penuh menjelang pertengahan tahun dan sembilan pesawat tambahan, kami menjangkakan mencapai 90% daripada kapasiti pra COVID-19. 

 

"Kami merancang untuk melancarkan lebih daripada 60 laluan baharu merentasi kumpulan, berkembang di China dan India dan memulakan operasi AirAsia Kemboja pada pertengahan tahun. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Capital A International akan disenaraikan di Pasaran Saham AS, disambut positif oleh pakar industri

 

"Kami terus melihat permintaan yang kukuh dengan tempahan hadapan pada Februari dan Mac masing-masing pada 91% dan 49%. Kami juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memacu pertumbuhan hasil sampingan," jelasnya.

 

Dalam pemakluman itu, Capital A berkata, pihaknya berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelan penyusunan PN17 dan menyasarkan penyerahan penuh kepada Bursa Malaysia dalam masa terdekat.

 

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, cadangan pelan penyelarasan itu melibatkan dua tindakan korporat utama yang sedang berjalan, iaitu cadangan pelupusan perniagaan Penerbangan AirAsia dan cadangan penyenaraian awam Capital A International melalui SPAC tersenarai NASDAQ, Aetherium Acquisition Corp," ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya berjaya muncul dalam tempoh ini dengan lebih kukuh dan lebih berdaya tahan berbanding sebelum ini.

 

"Kami menemui permata tersembunyi dalam portfolio kami yang telah berkembang maju bersama perniagaan syarikat penerbangan teras. Ini menguatkan kepercayaan terhadap model perniagaan kami yang pelbagai dan potensi untuk pertumbuhan melangkaui penerbangan," katanya dalam kenyataan media.

 

Katanya, pengumuman mengenai cadangan pelupusan perniagaan syarikat penerbangan dan perjanjian gabungan perniagaan dengan Aetherium Acquisition Corp menandakan lembaran baharu bagi organisasi ini yang membuka nilai yang lebih besar untuk para pemegang saham. 

 

"Dengan perhatian penuh terhadap pelaksanaan, kami komited untuk membawa portfolio perniagaan kami ke tahap yang baharu, mencerminkan kejayaan yang kami capai dengan AirAsia pada awalnya,” ujarnya.- DagangNews.com