Capital A diunjur raih manfaat besar daripada penggantungan MYAirline - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Capital A diunjur raih manfaat besar daripada penggantungan MYAirline - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan Capital A Berhad menerima manfaat besar daripada penggantungan operasi  MYAirline Sdn. Bhd. menerusi kadar tambang yang lebih tinggi.

 

Katanya, penggantungan MYAirline dilihat akan memberi tekanan kepada kadar tambang terutamanya bagi penerbangan domestik.

 

"Penggantungan MYAirline berlaku ketika bermulanya tempoh pengembaraan pada akhir tahun.

 

"Capital A dilihat akan menerima manfaat besar kerana kadar tambang kebiasaannya memuncak pada suku keempat setiap tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, MYAirline mengesahkan masalah kewangan yang dihadapi dan mengumumkan `penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober 2023 sehingga diberitahu kelak'.

 

Pihaknya telah membuat keputusan yang amat menyakitkan ini kerana tekanan kewangan yang ketara yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat penerbangan itu.

 

BACA JUGA: MYAirline gantung operasi mulai 12 Oktober 2023 sehingga penstrukturan, permodalan semula syarikat

 

Pada masa sama, firma penyelidikan menjangkakan, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak akan terjejas teruk akibat penggantungan itu.

 

Katanya, syarikat itu menyumbang kurang 10% daripada trafik penumpang domestik MAHB Malaysia dan kurang 2% daripada hasil keseluruhan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk MAHB dan AirAsia X Berhad manakala 'pegang' untuk Capital A.

 

"Kami juga menjangkakan pendapatan akhir tahun Capital A melonjak disokong oleh kadar tambang yang lebih tinggi," katanya.- DagangNews.com