Capital A hanya akan catat untung pada FY24 dengan kerugian FY22 diunjur RM2.89 bilion - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Capital A hanya akan catat untung pada FY24 dengan kerugian FY22 diunjur RM2.89 bilion - Maybank IB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Sept - Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan Capital A Bhd. hanya akan kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berikutan penempatan semula pesawat yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

Menurutnya, kadar tambang yang lebih tinggi dan pajakan yang lebih rendah mengimbangi kelemahan ringgit dan harga minyak yang masih tinggi.

 

Capital A katanya, masih berdepan cabaran dari segi kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan mata wang utama itu merangkumi 60% hingga 70% daripada perbelanjaan manakala harga minyak pula merangkumi 30% hingga 50%.

 

"Selain itu, berlakunya kelewatan di pihak penyedia perkhidmatan MRO telah melambatkan proses penempatan semula pesawat.

 

"Di China pula, masih tidak ada maklumat yang jelas sama ada negara itu akan menarik semula dasar sifar COVID-19 dengan membenarkan semula rakyat negaranya kembali melancong, turut mempengaruhi prospek kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu kini melebarkan kerugian bersih teras Capital A bagi FY22 kepada RM2.89 bilion berbanding anggaran RM2.44 bilion sebelum ini. 

 

Bagi FY23, ia menjangkakan kerugian bersih teras sebanyak RM700 juta berbanding kerugian bersih teras yang diunjurkan sebelum ini sebanyak RM250 juta. 

 

"Sementara itu, bagi FY24, kami mengurangkan unjuran untung bersih sebanyak RM100 juta kepada RM268 juta. Semakan ini menyamai unjuran untung bersih bagi FY23 sebanyak RM254 juta," jelasnya.

 

Namun, Maybank IB masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap Capital A dengan harga sasaran lebih rendah pada 84 sen daripada RM1.29 sesaham sebelum ini. 

 

"Walaupun harga sasaran disemak semula, tetapi ia masih menawarkan lebih 30% potensi kenaikan. 

 

"Capital A juga memberi jaminan kepada kami bahawa tidak akan ada lagi hak dan/atau hutang tidak akan ditukar kepada saham baharu," tambahnya.

 

Setakat 11.35 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.82% kepada 61.5 sen dengan 1.18 juta saham diniagakan. -DagangNews.com