Capitaland dijangka terima pulangan positif daripada pengambilalihan tanah di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Capitaland dijangka terima pulangan positif daripada pengambilalihan tanah di Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - RHB Investment Bank menjangkakan Capitaland Malaysia Trust (CLMT) akan menerima pulangan positif daripada pengambilalihan dua bidang tanah di Pulau Pinang bernilai RM80 juta.

 

Firma itu berkata, hartanah tersebut disewa untuk tujuan logistik dan pergudangan, dan ia terletak di Sungai Jawi berdekatan dengan Taman Perindustrian Batu Kawan.

 

Katanya, satu daripada tiga bangunan di tanah tersebut berusia hampir 15 tahun manakala selebihnya berusia tiga tahun dan disewa oleh MMP Logistics dan Schenker Logistics (Malaysia) dengan harga sewaan RM426,500 sebulan. 

 

"Permintaan untuk segmen pergudangan dan logistik kekal kukuh, mendapat manfaat daripada aktiviti perindustrian yang semakin meningkat di kawasan itu.

 

"Bagaimanapun, kami tidak jelas tentang syarat penyewaan kerana tidak banyak pendedahan diberikan daripada amanah pelaburan hartanah (REIT) mengenai tanah itu.

 

"Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan penggearan CLMT daripada 35.9% kepada 37.2% dan berada pada paras selesa di bawah 50%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Capitaland beli tanah di Sungai Jawi berharga RM80 juta

 

Firma itu berkata, pertambahan pendapatan bersih daripada pengambilalihan itu antara RM1.5 juta hingga RM1.8 juta untuk setahun penuh.

 

"Kami menjangkakan REIT akan mengambil alih lebih banyak aset industri sebagai sebahagian daripada mandat dalam mempelbagaikan portfolio selain peruncitan.

 

"Bagaimanapun, tiada nilai sasaran pemerolehan indikatif atau panduan mengenai pembiayaan yang disediakan oleh pihak pengurusan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM0.58. - DagangNews.com