KUALA LUMPUR 30 Ogos – Sekiranya anda mempunyai kereta, carching iaitu syarikat pemula Malaysia akan memberi ganjaran kepada anda yang menjadikannya sebagai platform penjenamaan.
Menariknya, pemandu diberi kuasa untuk memilih jenama yang digayakan kereta masing-masing, – suatu pendekatan yang ternyata mencetuskan rasa ingin tahu ramai pihak.
Pendekatan carching adalah dengan menghasilkan rekaan anggun balutan kereta yang dihargai oleh kedua-dua pihak, jenama dan pemilik kenderaan, yang mana unsur-unsur jenama diintegrasikan dengan baik pada anatomi kereta berkenaan.
Pengasas carching, Jeshua Choong berkata, pihaknya melancarkan aplikasi beta dua bulan lalu, bersama-sama dua kempen perintis dengan jenama daripada industri kewangan dan kecergasan.
“Menjelang akhir bulan ini, kempen ke-8 kami akan dimulakan dan kami bakal mempunyai sekurang-kurangnya 100 pemandu carching di jalanan, yang membolehkan kami menghulurkan lebih daripada RM40,000 ke saku rakyat Malaysia – seorang pemandu secara pasifnya boleh meraih sehingga RM500 untuk setiap kempen," kata beliau.
Sasaran carching adalah untuk memperoleh 5,000 pengguna (pemandu) dan bekerjasama dengan 15 jenama menjelang akhir tahun ini, namun Jeshua menjelaskan bahawa strategi perniagaan berkenaan untuk mencapai kejayaan adalah dengan mengimbangi kedua-dua bekalan dan permintaan secara teliti sebelum melaksanakan pertumbuhan lebih pesat.
"Kami membenarkan pihak jenama memilih ciri-ciri pada kereta yang akan menyerlahkan prinsip jenama atau mesej kempen mereka," tambah Jeshua.
Sebagai contoh, mengambil inspirasi daripada F1, kereta yang mempunyai profil yang lebih aerodinamik untuk menyerlahkan kelajuan boleh menarik minat jenama berkaitan bahan api. Rekaan carching untuk setiap balutan disesuaikan dengan kereta tersebut.
Mulai Ogos hingga Oktober, carching akan bekerjasama dengan beberapa syarikat perniagaan tempatan dan pemula, termasuk Al-Ikhsan, Kee Nguyễn, Snappea, Speedhome dan Zus Coffee, bagi melancarkan kempen berasaskan Merdeka untuk memperkasakan rakyat dengan aliran pendapatan tambahan.
“Kami gembira mendapat sokongan jenama ini memandangkan kami berkongsi matlamat serupa bagi mewujudkan kebolehcapaian untuk rakyat Malaysia saban hari.”
“Misalnya, Speedhome menerusi skim Deposit Sifar menyediakan rakyat Malaysia dengan penjimatan ketara apabila menyewa hartanah. Begitu juga dengan pertumbuhan mengagumkan Zus Coffee yang didorong oleh matlamat mudah iaitu membolehkan orang ramai menikmati kopi artisan,” jelas Jeshua.
Justin Chan yang mengasaskan Snappea, jenama susu kacang pertama di Asia, menjelaskan bahawa cita-cita carching begitu seiring dengan misi jenamanya.
“Seperti carching, kami mahu membantu menghasilkan masa hadapan yang lebih mampan dan menyihatkan untuk rakyat Malaysia dengan menyediakan pilihan susu berasaskan tumbuhan yang lebih baik kepada pengguna."
Beliau menambah bahawa misi carching membantu rakyat Malaysia terserlah menerusi kerjasama antara Snappea dan carching dalam #SupportLokal mereka untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia dengan cara carching.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sdn. Bhd., Vach Pillutla, model perniagaan carching menarik perhatiannya.
“Konsep pengiklanan dalam perjalanan telah pun wujud buat sekian waktu dan jenama melihat bentuk pengiklanan ini sebagai suatu kaedah yang menjimatkan kos untuk menjangkau khalayak ramai.
“Namun kami memilih untuk meneroka platform carching kerana kami menggemari idea bahawa sebahagian besar daripada pelaburan penjenamaan kami akan diberikan kepada pemilik kereta individu. Pada dasarnya ia mendemokrasikan pengiklanan,” menurut Vach.
Lebih banyak lagi fasa yang bakal diketengahkan mengikut perancangan carching dan Jeshua menekankan bahawa semua solusi tidak akan mengganggu gaya hidup pengguna.
"Kami mahu melihat semula setiap aspek kereta dan bertanya pada diri kami sendiri, apa lagi yang mampu kami lakukan untuk pemilik kereta. Kami bercita-cita untuk membantu pengguna menjana nilai sehingga RM1,000 setiap bulan," kata Jeshua, sambil menambah bahawa lokasi sasaran buat masa ini adalah Lembah Klang dengan perancangan untuk berkembang ke negeri lain dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Justeru, matlamat 36 bulan carching adalah untuk membawakan teknologi kami di seluruh Asia Tenggara, terutamanya ke lokasi dengan jumlah trafik yang tinggi dan lokasi yang mempunyai penduduk yang ramai seperti Bangkok, Bandung dan Jakarta. carching yakin bahawa idea berkenaan akan meraih daya tarikan, terutama dengan lebih banyak jenama kini mencari strategi penjenamaan luar talian (offline) yang kreatif untuk mencipta keterujaan,” tambah beliau.
Buat masa ini, carching sedang mengumpul sejumlah RM500,000 dalam tempoh pembiayaan awal dan sebahagian daripada Program Pre-Accelerator MyStartup Cradle dan MIH untuk penggerak syarikat pemula, dinaungi oleh Techstars. – DagangNews.com