Careplus Group, Howl Chuen bekerjasama ceburi bidang tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

Careplus Group, Howl Chuen bekerjasama ceburi bidang tenaga boleh diperbaharui

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Pembuat sarung tangan getah Careplus Group Berhad bekerjasama dengan seorang individu, Woon Howl Chuen untuk menceburi bidang tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perniagaan pengurusan kecekapan tenaga, dalam usaha menyediakan sumber pendapatan alternatif yang akan meningkatkan keuntungan kumpulan pada masa hadapan.

 

Kumpulan itu berkata, syarikat itu dan anak syarikat milik penuhnya Masterclean Technologies Sdn. Bhd. telah memeterai kerjasama dan perjanjian pilihan dengan Howl Chuen untuk usaha niaga yang dicadangkan itu.

 

Beliau diberi pilihan untuk melanggan agregat sehingga 70,000 saham dalam Masterclean Technologies. 

 

Menerusi perjanjian itu, Careplus dan Howl Chuen akan melanggan saham Masterclean Technologies baharu pada harga RM1 setiap satu, yang akan menyebabkan kepentingan ekuiti Careplus dalam Masterclean Technologies berkurangan sebanyak 7.7% daripada 100% kepada 92.3%.

 

Pilihan itu boleh dilaksanakan oleh Howl Chuen dalam satu atau beberapa tranche tidak kurang daripada 10,000 saham Masterclean Technologies setiap tranche, pada bila-bila masa dalam tempoh tiga tahun, dengan mengeluarkan notis kepada Masterclean Technologies mengenai perkara tersebut.

 

"Sekiranya pilihan panggilan dilaksanakan sepenuhnya oleh Howl Chuen, kepentingan ekuiti oleh Careplus dalam Masterclean Technologies akan (mengurangkan) menjadi 60%," kata Careplus dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, pilihan itu memberikan Careplus peluang untuk bekerja rapat dengan Howl Chuen dalam sektor RE bagi tempoh minimun tiga tahun.

 

"Ini membolehkan kumpulan itu memanfaatkan kepakaran Howl Chuen dalam bidang ini, yang boleh menjadi penting untuk kejayaan usaha baharu ini," katanya. - DagangNews.com