cari@unifi, eBiz Unifi bantu PKS mikro cari pelanggan baharu | DagangNews Skip to main content

cari@unifi, eBiz Unifi bantu PKS mikro cari pelanggan baharu

 

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt. – Dalam usaha merancakkan semula aktiviti perniagaan dan pencarian pelanggan baharu bagi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, Unifi hari ini melancarkan kemudahan cari@unifi dan pek eBiz.

Pelancaran platform penyenaraian dalam talian cari@unifi tersebut dilihat dapat membantu usahawan PKS mikro menyesuaikan diri dengan landskap digital baharu sekali gus mendorong kelangsungan perniagaan mereka.

Selain menawarkan kemudahan platform penyenaraian dalam talian kepada PKS mikro di seluruh negara, cari@unifi juga menyiarkan kandungan khas bagi mempromosikan perniagaan-perniagaan yang disenarai dalam direktori tersebut.

Menurut Ketua Segmen PKS unifi, Azmi Abdullah, cari@unifi merupakan antara kaedah terbaik untuk memudahkan PKS mikro memperoleh pelanggan baharu menerusi penyenaraian dan penyiaran kandungan bagi mempromosikan perniagaan PKS mikro.

“Bagi kebanyakan usahawan PKS mikro, proses mendapatkan pelanggan baharu memang satu cabaran besar tetapi semua ini dipermudahkan oleh cari@unifi yang membantu menyebarkan perniagaan menerusi siaran rencana beserta video di platform kami,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, masalah sambungan internet dan penggunaan peralatan digital yang dihadapi oleh PKS mikro kini boleh diselesaikan menerusi solusi perniagaan perniagaan – eBiz.

Hadir dengan data tanpa had, panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) beserta hotspot 10GB LTE bagi memastikan kelancaran untuk terus berhubung dengan pelanggan dan perniagaan mereka.

Turut disertakan dengan solusi pemasaran digital daripada Yellow Pages, pelanggan boleh menikmati diskaun khas RM120 untuk membina laman web dan memasarkan perniagaan mereka dalam talian.

Pelanggan unifi sedia ada hanya perlu membayar RM59 sebulan untuk pek eBiz manakala harga bagi pelanggan baharu adalah RM79 sebulan.

PKS mikro yang ingin menyenaraikan perniagaan mereka di cari@unifi boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui pautan https://ecommerce.unifi.com.my. – DagangNews.com