Carousell Auto Group bakal terajui pasaran automotif Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Carousell Auto Group bakal terajui pasaran automotif Asia Tenggara

Carousell Autos

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Platform jual beli dalam talian, Carousell Group melancarkan  Carousell Auto Group untuk mendominasi pasaran  automotif di Asia Tenggara.

 

Carousell Auto Group akan menerajui pengiklanan automotif di Mudah Auto bagi Malaysia, Cho Tot Xe di Vietnam, Carousell Autos di Filipina, Hong Kong dan Singapura melalui transaksi inovatif iaitu OneShift dan Revo Financial.

 

Visi kumpulan tersebut adalah untuk menjadikan pembelian, penjualan dan pemilikan kereta sebagai satu pengalaman menakjubkan bagi pengguna kelas pertengahan di Asia Tenggara yang akan meningkat lebih dua kali ganda daripada 135 juta kepada 334 juta pada tahun 2030. 

 

Menariknya, impian Carousell Group dalam ruang lingkup automotif serantau turut diperkukuhkan lagi dengan perlantikan Gaurav Bhasin sebagai Ketua Pegawai Strategi Carousell Group dan Ketua Pegawai Eksekutif di Malaysia. 

 

Gaurav Bhasin
Gaurav Bhasin. 

 

Gaurav berkata, jenama automobil pihaknya adalah peneraju di Malaysia, Vietnam dan Filipina serta bercita-cita menterjemahkan kepakaran tersebut untuk menjadi pemain jual-beli dalam talian automotif nombor satu di Singapura dan Hong Kong dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

"COVID-19 telah mempercepatkan trend pengguna membeli dan menjual secara dalam talian, termasuklah untuk kereta.

 

"Kami ingin melangkah lebih jauh untuk memperkasakan jenama automotif kami dengan model transaksi yang menjadikan pembelian, penjualan dan pemilikan kereta suatu pengalaman menakjubkan bagi pembeli dan pengedar kereta kami melalui produk OneShift dan Revo Financial kami, katanya dalam satu kenyataan.

 

Gaurav akan bekerjasama dengan pengasas bersama Carousell iaitu Lucas Ngoo untuk memanfaatkan keupayaan produk dan pemasaran Carousell Auto Group bagi membina pengalaman automotif terbaik yang merentasi pasarannya.

 

Mengulas perkara itu, Lucas memberitahu, pihaknya mahu mengubah Carousell Auto Group menjadi platform sehenti untuk semua yang berkaitan dengan automobil.

 

"Tidak lama lagi, pengguna kami di seluruh rantau ini akan dapat menjual dan membeli kereta mereka dengan cepat dan lancar, serta mempunyai akses ke seluruh ekosistem automotif kami yang merangkumi bengkel, aksesori dan perkhidmatan," ujar beliau. - DagangNews.com