Carsome luaskan 'pangkalan' di Indonesia menerusi pembelian saham PT UC  | DagangNews Skip to main content

Carsome luaskan 'pangkalan' di Indonesia menerusi pembelian saham PT UC 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Platform perdagangan kereta dalam talian terbesar di Asia Tenggara, Carsome telah mengambil alih kepentingan ekuiti di dalam syarikat perkhidmatan pembidaan kereta dan motosikal terpakai di Indonesia, PT Universal Collection (PT UC).

 

Ini sekali gus menandakan pelaburan pertama Carsome di rantau Asia Tenggara pada tahun 2021.

 

Ketua Negara, Carsome Indonesia, Delly Nugraha yang turut dilantik sebagai Presiden Pengarah PT UC berkata, pelaburan itu merupakan langkah strategik untuk Carsome membuka lebih banyak peluang dan rangkaian selain secara signifikan untuk mengembangkan operasi mereka di Indonesia. 

 

“Menerusi akses bakalan kereta terpakai PT UC di pasaran, rakan niaga Carsome dapat menikmati lebih banyak inventori yang berpelbagai dan pilihan lebih luas. 

 

Delly Nugraha
Delly Nugraha

 

“Pembekal PT UC, sebaliknya akan dibuka kepada ruang permintaan lebih luas, melebarkan penembusan mereka ke dalam pasaran kereta terpakai,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Selain Jakarta, PT UC juga mempunyai cawangan di Selatan Tangerang, Bandung, Yogyakarta dan Malang

 

Pelaburan ke dalam PT UC membolehkan Carsome menggandakan jumlah transaksi kenderaan mereka di Indonesia. 

 

Dalam masa sama, ini juga membolehkan Carsome untuk melebarkan liputan rangkaiannya dan akses kepada pembekal kewangan dan pemberi pajakan, sekali gus menjadikannya platform perdagangan kereta dalam talian, saluran omni terbesar di rantau ini.

 

Berdasarkan kaji selidik Pengguna Carsome yang diterbitkan awal tahun ini, minat dalam kalangan pengguna Indonesia untuk membeli atau menjual kereta terpakai kekal tinggi. 

 

Sekurang-kurangnya 64% daripada pengguna Indonesia berminat untuk membeli sebuah kereta terpakai, antara April hingga September 2021. 

 

Setakat April 2021, Carsome telah mencatatkan lebih 9,000 transaksi kereta terpakai setiap bulan atau lebih 100,000 transaksi tahunan. 

 

Ini sekali gus menjana hasil sekitar AS$800 juta dan Carsome mendedahkan bahawa platformnya berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran hasil AS$1 bilion pada tahun ini. - DagangNews.com