Catat lebih 2 juta pelanggan, One XOX lancar kempen isian semula tawar hadiah kereta  | DagangNews Skip to main content

Catat lebih 2 juta pelanggan, One XOX lancar kempen isian semula tawar hadiah kereta 

Timbalan Presiden Kanan Bahagian Jualan & Pemasaran ONEXOX, Mohamad Khatab Mahvi, Ketua Pegawai Kewangan, Badrol Izman Osman dan Bobie Farid Shamsudin pada majlis pelancaran kempen isian semula di Petaling Jaya hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Feb - One XOX Sdn Bhd, anak syarikat XOX Berhad mencatatkan jumlah pertumbuhan sebanyak 2.06 juta pelanggan prabayar pada suku ketiga 2023, berbanding 1.8 juta pelanggan pada suku kedua 2022.

 

Justeru, bagi memantapkan lagi segmen prabayarnya, One XOX melancarkan Kempen “Jom TopUp Kaw Kaw” dengan menawarkan hadiah utama berupa Perodua Axia serba baharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Operasi dan Pengaktifan One XOX, Bobie Farid Shamsudin berkata, kempen tersebut merupakan tanda penghargaan syarikat kepada semua pelanggan prabayar atas sokongan berterusan mereka selama ini. 

 

“Jumlah pelanggan kami semakin meningkat dari tahun ke tahun dan tidak ada cara lain yang lebih baik untuk kami berterima kasih kepada mereka dengan melancarkan kempen khas ini.

 

“Menggabungkan teknologi baharu dan digital, kami komited dalam menggandakan usaha untuk memberikan nilai terbaik kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut Bobie Farid, One XOX berharap untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik yang memenuhi keperluan pelanggan di samping melengkapkan mereka dengan trend semasa dalam syarikat telekomunikasi.

 

“Kami percaya usaha kami ini mengukuhkan lagi keseluruhan ekosistem industri ke arah kemajuan untuk pengguna,” jelasnya.

kaw

 

Kempen “Jom TopUp Kaw Kaw” dirasmikan semasa sesi khas bersama para pengedar One XOX di Menara Lien Hoe, Petaling Jaya.

 

Semua pelanggan prabayar One XOX terdiri daripada pelbagai kategori produk: Prabayar ONEXOX, Prabayar WAWA dan Prabayar The Bos Gaurus layak menyertai kempen ini.

 

Di samping hadiah utama sebuah Perodua Axia, para pelanggan layak menerima hadiah terjamin secara rawak bermula daripada minit.

 

Untuk menyertai, pelanggan mesti menambah nilai dengan jumlah minimum sebanyak RM10 pada satu transaksi untuk layak dengan satu penyertaan. 

 

"Tambah nilai boleh dilakukan melalui aplikasi BLACK, laman web ONEXOX - onexox.com.my, XOX Self-Care, Pin tambah nilai atau di mana-mana pengedar sah ONEXOX yang berdekatan. Tiada had penyertaan maksimum untuk kempen ini," katanya.

 

Untuk maklumat lanjut tentang kempen ini, sila layari onexox.com.my.

 

Secara keseluruhan, segmen Prabayar telah mengalami pertumbuhan positif atas faktor fleksibiliti dan mampu milik, menarik pelbagai pengguna untuk memanfaatkannya.

 

Ramai pengguna tertarik kepada pelan prabayar kerana ia menawarkan kuota data yang lebih besar dan faedah lain, seperti data dan minit panggilan tanpa had, serta temph sah pelan yang lebih panjang. - DagangNews.com