Catat untung bersih tertinggi, CGS-CIMB tingkatkan sasaran harga LCT | DagangNews Skip to main content

Catat untung bersih tertinggi, CGS-CIMB tingkatkan sasaran harga LCT

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 April - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research meningkatkan sasaran harga Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT) daripada RM2.86 kepada RM3.95 sejajar peningkatan unjuran perolehan kumpulan itu. 

 

Ini selepas syarikat petrokimia itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih bagi perbandingan suku tahun tertinggi pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1Q21) sejak disenarai awam pada tahun 2017. 

 

“Kami percaya TP itu tidak berlebihan, memandangkan kami tidak mengambil kira wang yang dikecualikan untuk projek pemecah nafta  di Indonesia. 

 

“...dan kerana kami meletakkan TP itu berdasarkan pendapatan sebelum faedah, pajak, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) 2020 sebanyak RM841 juta, di mana 46% lebih rendah daripada EBITDA 2021, RM1,543 juta, dengan andaian harga jualan petrokimia akan ‘correct’ pada tahun depan daripada tahap puncaknya bagi tahun ini,” jelas penganalisis di CGS-CIMB, Raymond Yap.

 

LCT menyaksikan keuntungan bersihnya iaitu sebanyak RM440 juta, merangkumi 94% daripada unjuran tahun kewangan 2021 (FY21) oleh CGS-CIMB, RM466 juta.

 

Kata Yap, firmanya tidak meletakkan unjuran keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi suku tahun berkenaan sebelum ini, walaupun tebaran harga polimer berbanding nafta menyaksikan peningkatan yang mendadak. 

 

“Berdasarkan pengiraan kami bagi April dan Mei 2021, kami percaya LCT akan memperoleh tebaran purata polimer berwajaran sebanyak AS$856 setiap tan bagi 2Q21, di mana lebih tinggi berbanding 1Q21, AS$730 setiap tan, dan sangat tinggi berbanding rekod tebaran LCT sebelum ini iaitu AS$382 pada 1Q20. 

 

“Namun begitu, LCT secara konservatif telah memaklumkan bahawa keuntungan bersih bagi 2Q21 akan menjadi sedikit rendah daripada RM440 juta yang dicatatkan pada 2Q21, terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan yang perlahan,” tambah Yap. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham LCT. 

 

Ketika laporan ditulis, nilai saham LCT menokok 8.14% atau 24 sen kepada RM3.19. - DagangNews.com