Catcha Digital beli 70% kepentingan dalam pengendali portal berita TR Media | DagangNews Skip to main content

Catcha Digital beli 70% kepentingan dalam pengendali portal berita TR Media

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Catcha Digital Berhad menerusi anak syarikatnya, iMedia Asia Sdn Bhd telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) untuk membeli 70% kepentingan dalam TR Media Bytes Sdn Bhd bernilai RM665,000.

 

SSA itu ditandatangani bersama Pengarah dan pemegang saham tungal TR Media, Chan Lik Kiong dan pertimbangan pembelian tersebut dibuat atas dasar ‘pembeli sanggup, penjual rela’, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Catcha Digital berkata pembelian kepentingan tersebut akan dibiayai melalui baki tunai dalaman kumpulan, yang berjumlah RM10.4 juta setakat 31 Disember 2023.

 

TR Media, yang ditubuhkan pada Jun 2023, memiliki dan mengendali portal berita sosial berbahasa Melayu di bawah nama The Reporter.

 

Melalui cadangan pengambilalihan ini, Catcha Digital berkata ia berharap dapat menggunakan pengalamannya dalam mengembangkan laman web sedia ada seperti Oh Media, Beautifulnara dan Moretify kepada The Reporter.

 

“Asimilasi The Reporter ke dalam laman web Catcha Digital Group membolehkan kumpulan mengembangkan khalayaknya dan menawarkan rumusan pengiklanan yang lebih komprehensif kepada pelanggan Catcha Digital Group.

 

“Dalam jangka panjang, kumpulan berharap pendapatan TR Media akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan keseluruhan,” ulasnya.

 

Ia turut berharap dapat memanfaatkan rekod prestasi iMedia untuk meningkatkan prestasi TR Media dan pada masa yang sama, membangunkan lebih banyak peluang jualan silang dalam keseluruhan perniagaan kumpulan.

 

Saham Catcha Digital ditutup rendah 0.5 sen atau 1.5% pada 33 sen hari ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM116.2 juta.  - DagangNews.com