CBP : FGV ambil langkah sewajarnya | DagangNews Skip to main content

CBP : FGV ambil langkah sewajarnya

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - FGV Holdings Bhd. telah memutuskan untuk mengambil pendekatan sistematik dalam memastikan hak-hak pekerjanya dihormati dan dilindungi bagi menghapuskan amalan yang menunjukkan eksploitasi buruh. 

 

Menurut syarikat perladangan itu, langkah berkenaan untuk memastikan bahawa amalan buruh terbaik dipatuhi sesuai dengan piawaian antarabangsa merangkumi keseluruhan operasinya. 

 

Dalam hal ini, katanya, kumpulan komited untuk memastikan usaha berterusan untuk meningkatkan infrastruktur kemudahannya dalam jangka masa penyelesaian yang munasabah untuk kepentingan pekerjanya. 

 

Ini termasuk penambahbaikan tambahan pada perumahan, klinik, sekolah, kedai dan tempat ibadat.

 

"Usaha berterusan FGV dalam memastikan pelaksanaan dasar hak asasi manusia dan buruh FGV di lapangan dibuktikan dengan pelbagai inisiatif dan program yang telah dilaksanakan, khususnya kerjasama dengan Fair Labor Association (FLA). 

 

"FGV juga telah melantik Panel Penasihat Bebas (IAP) untuk menasihati FGV mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan tadbir urus dan kelestarian termasuk hal-hal buruh," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

FGV merujuk kepada Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat pada 30 September 2020 terhadap produk kelapa sawit dan minyak sawit FGV. 

 

Kenyataan rasmi berhubungan perkara itu telah dibuat pada 1 Oktober 2020.

 

Mengambil maklum bahawa CBP menunjukkan pengeluaran WRO terhadap FGV berdasarkan maklumat hasil dari siasatan selama setahun yang secara munasabah menunjukkan penggunaan buruh paksa, FGV ingin mengulangi bahawa semua isu yang dibangkitkan oleh CBP telah menjadi bahan wacana umum sejak 2015.

 

Malah, kumpulan juga telah berusaha dengan gigih untuk meningkatkan amalan tenaga buruhnya dan komited untuk mengambil semua langkah yang diperlukan untuk pembatalan WRO. 

 

Jelas FGV, pada 8 Oktober lalu, FGV telah berkomunikasi dengan CBP melalui panggilan persidangan untuk meminta penjelasan mengenai tuduhan buruh paksa di ladang-ladang FGV. 

 

"CBP, bagaimanapun, tidak mendedahkan maklumat mengenai penemuan siasatannya kecuali telah mengenal pasti 11 indikasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruh paksa dalam amalan FGV. 

 

"Dalam masa sama, CBP tidak mendedahkan maklumat lebih lanjut mengenai hasil siasatannya termasuk sifat atau lokasi kejadian yang berkaitan dengan indikasi-indikasi tersebut," katanya. 

 

Pada 15 Oktober lalu, FGV dilaporkan akan melantik firma audit pihak ketiga yang bebas dalam menjalankan audit bagi operasi FGV dengan segera. 

 

"Namun, setelah pertimbangan lebih lanjut oleh Lembaga Pengarah, FGV telah memutuskan untuk mengkaji semula pelantikan ini setelah FGV berpuas hati bahawa semua langkah di atas telah telah diperkukuhkan dan dilaksanakan dengan sewajarnya," katanya.

 

Sementara itu, menurut FGV, kumpulan akan terus berhubung dengan CBP untuk memastikan mereka terus mengikuti perkembangan pelbagai langkah yang diambil dan inisiatif-inisiatif lain yang berterusan berkaitan dengan hak buruh khususnya dan hak asasi manusia pada umumnya.

 

Pada masa sama, katanya, FGV tetap komited untuk melaksanakan pelan tindakannya di bawah afiliasinya dengan FLA. 

 

Pelan tindakan FLA boleh diakses di laman sesawang FGV di www.fgvholdings.com. Laporan kemajuan seterusnya mengenai pelan tindakan ini akan diterbitkan pada 31 Mac 2021. - DagangNews.com