CBP AS mahu Top Glove buat penambahbaikan, verifikasi tambahan | DagangNews Skip to main content

CBP AS mahu Top Glove buat penambahbaikan, verifikasi tambahan

 

 

KUALA LUMPUR 5 April - Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) meminta Top Glove Corporation Bhd. untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan dan verikasi tambahan berhubung dengan penemuan awal mengenai isu buruh paksa yang didakwa ke atas syarikat itu.

 

Top Glove berkata, kerja-kerja penambahbaikan dan pengesahan tambahan itu berkaitan dengan dokumen pengenalan yang disimpan oleh ejen pengambilan tenaga kerja agar dikembalikan kepada pekerja, ini hanya menjejaskan kurang daripada satu peratus pekerjanya dan mengimbangi pekerja yang tidak dapat datang ke Malaysia akibat sekatan COVID-19.

 

"Top Glove sedang berusaha untuk menangani dan memperbaiki sepenuhnya isu-isu yang dikenal pasti dengan jelas," kata pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam seperti dilapor Bernama.

 

Sehingga kini, tidak ada produk sarung tangan pakai buang yang dirampas susulan perintah pelepasan tahan CBP.   

 

"Isu ini juga tidak memberi sebarang impak kewangan dan operasi kepada syarikat berdasarkan penilaian semasa," katanya. 

 

Syarikat kekal komited terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan tenaga kerjanya.

 

Pada 29 Mac lalu, CBP AS mendakwa produk tertentu oleh Top Glove telah dihasilkan menerusi penggunaan buruh paksa atau terikat.

 

Jabatan itu mendakwa produk sarung tangan pakai buang tertentu telah dihasilkan atau dibuat oleh pembuat sarung tangan getah dengan menggunakan buruh paksa, dan diimport, atau akan, diimport ke AS. - DagangNews.com