CDC, MICG bekerjasama tingkatkan amalan perolehan sektor awam | DagangNews Skip to main content

CDC, MICG bekerjasama tingkatkan amalan perolehan sektor awam

Dari kiri Timbalan Pengerusi MICG, Datin Yasmin Ahmad Merican, Pengerusi MICG, Sujatha Sekhar Naik, Ketua Pegawai Eksekutif, CDC Muzafar Kamal Shahaluddin dan Pengarah CDC, Putri Nurul Ida
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai - Commerce Dot Com Sdn. Bhd. (CDC) dan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan meningkatkan tadbir urus, etika dan integriti, khususnya amalan dalam perolehan sektor awam. 

 

Kerjasama itu menggariskan komitmen bersama untuk memupuk ketelusan, akauntabiliti dan standard tadbir urus yang baik dalam amalan perolehan sektor awam dan swasta Se-Malaysia.

 

Majlis menandatangani MoU tersebut menandakan usaha kerjasama memanfaatkan kepakaran MICG dalam tadbir urus dan penyelesaian teknologi inovatif oleh CDC dalam mengubah landskap perolehan Malaysia. 

 

Menurut CDC, MoU itu juga melambangkan satu langkah penting ke arah menyepadukan amalan terbaik dan teknologi canggih bagi mewujudkan rangka kerja teguh memberi manfaat kepada pelbagai organisasi, tidak kira saiz mahupun sektor.

 

Sumbangan ePerolehan, produk utama CDC telah memajukan Malaysia dengan ketara ke arah ekonomi digital, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti bagi perbelanjaan kerajaan.

 

Pada masa yang sama, MICG pula mempromosikan standard tadbir urus korporat melalui pendidikan, latihan, dan kepimpinan membentuk landskap tadbir urus sektor swasta dan awam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CDC, Muzafar Kamal Shahaluddin menyatakan usaha sama itu bakal meningkatkan ketelusan dan integriti dalam proses perolehan dalam negara.

 

“Dengan menggabungkan keupayaan teknologi kami dan kepakaran tadbir urus MICG, kami berhasrat menetapkan standard baharu bagi perolehan sektor awam, memastikan amalan beretika dan tadbir urus teguh secara menyeluruh.”

 

“Kami kekal komited membantu pengusaha perniagaan mikro, kecil dan sederhana dengan memupuk budaya akauntabiliti dan kecemerlangan," tambah beliau. 

 

Sementara itu, Pengerusi MICG, Sujatha Sekhar Naik pula berkata usaha MoU itu merupakan satu langkah penting dalam mempraktikkan tadbir urus memanfaatkan teknologi dan menerapkan amalan etika kukuh dalam budaya korporat sektor awam dan swasta. 

 

“Kami berharap dengan menggabungkan kekuatan MICG dan CDC, melalui dasar dan pengawasan teguh meningkatkan integriti korporat, dan tanda aras amalan perolehan beretika, akan dapat membuka jalan bagi landskap perniagaan lebih bertanggungjawab dan telus,” ujarnya.


Dalam komitmen bersama memupuk tadbir urus baik, MICG dan CDC menggariskan beberapa inisiatif utama di bawah MoU ini, termasuk menganjurkan Persidangan Perolehan Kebangsaan (National Procurement Conference atau NPC) ke-10 yang akan diadakan pada 8 Ogos 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia  (MITEC), KL.

 

Majlis NPC ke-10 itu bertujuan menggalakkan amalan terbaik bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan amalan etika dalam perolehan serta mengukuhkan proses tadbir urus dan menangani rasuah.

 

Ia juga bertujuan mengumpulkan golongan pakar dan pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan, strategi, membincangkan inovasi, dan menetapkan piawaian, sejajar dengan objektif Malaysia Madani memupuk integriti dan akauntabiliti serta memastikan sektor awam dan swasta yang lebih telus dan beretika.

 

Usaha sama itu turut menyokong Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, dilancarkan oleh  Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim pada Mei 2024.

 

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CDC, Muzafar Kamal Shahaluddin dan, Pengerusi MICG, Sujatha Sekhar Naik dan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah CDC, Putri Nurul Ida Yahya dan, Timbalan Pengerusi MICG, Datin Yasmin Ahmad Merican.- DagangNews.com