CENDANA terima peruntukan tambahan RM7 juta di bawah PRISMA, manfaat lebih 5,000 pekerja seni budaya | DagangNews Skip to main content

CENDANA terima peruntukan tambahan RM7 juta di bawah PRISMA, manfaat lebih 5,000 pekerja seni budaya

 Saifuddin Abdullah bersama empat penerima manfaat inisiatif pemulihan CENDANA di bawah PRISMA hari ini.

Saifuddin Abdullah bersama empat penerima manfaat inisiatif pemulihan CENDANA di bawah PRISMA hari ini.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM7 juta di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) untuk penggiat seni budaya yang berkecimpung dalam seni persembahan, seni visual, muzik independen dan kraf.

 

Pakej tersebut adalah kesinambungan daripada jumlah RM10 juta yang telah diluluskan di bawah Inisiatif Pemulihan CENDANA-PENJANA yang berjaya mencipta lebih daripada 3,000 peluang pekerjaan baharu.

 

Secara keseluruhannya, pakej yang merupakan inisiatif jangka pendek di bawah kelolaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu berjaya memberi manfaat kepada lebih 5,000 pekerja seni budaya termasuk 2,000 peluang pekerjaan tambahan.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementeriannya komited memberi sokongan berterusan kepada sektor seni budaya yang memainkan peranan penting dengan melaksanakan Pelan Penjana untuk Industri Kreatif dengan jumlah keseluruhan RM225 juta.

 

Katanya lagi, RM89.2 juta lagi telah diumumkan di bawah inisiatif PRISMA bagi membantu sektor seni budaya agar terus bertahan dalam fasa pandemik untuk tahun 2021.

 

;

 

"KKMM amat bersyukur dan berterima kasih dengan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk industri kreatif di bawah Pemulih. KKMM juga komited untuk mengembalikan sinar industri kreatif dan terus berusaha untuk melindung serta mengekalkan perniagaan dan pekerjaan dalam industri ini.

 

"Kami juga berharap dengan adanya suntikan dana yang berterusan, kemudahan pembiayaan, usaha meningkatkan kapasiti, akses kepada pasaran, aktiviti promosi serta penciptaan karya dan peluang baharu, dapat menyumbang kepada pemulihan industri kreatif ini," katanya dalam satu sidang media maya hari ini.

 

CENDANA yang ditubuhkan di bawah MyCreative Ventures Sdn. Bhd., diberi tanggungjawab bersama dengan MyCreative Ventures untuk mengurus PRISMA yang telah dilancarkan pada 5 Februari 2021.

 

Ditanya berkaitan jumlah yang akan diagihkan kepada setiap penerima, beliau memberitahu, jumlah tersebut bergantung kepada projek yang dimohon.

 

"Misalnya hari ini saya bertemu dengan empat orang yang sudah menerima dana PRIMA di bawah CENDANA, ada yang menerima RM3,500 ada yang menerima lebih daripada RM13,000 ada yang lebih daripada RM20,000.

 

"Ini bergantung kepada projek yang mereka laksanakan dan mohon di bawah Penjana dan semua di bawah PRISMA ini kita cuba lunaskan sebelum bulan Disember, memang kita ingin membelanjakannya sepanjang tahun ini," katanya lagi.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina memberitahu, tambahan geran RM8 juta di bawah Pemulih  sedang diselaraskan bersama pihak KKMM dan Kementerian Kewangan.

 

Hingga kini, pihaknya telah meluluskan peruntukan bagi kira-kira 1,000 penerima manfaat tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan untuk lebih daripada 11,000 rakyat Malaysia dan mempertingkatkan kemahiran lebih daripada 13,000 penggiat industri sejak mula beroperasi pada tahun 2017. 

 

"Pada bulan April 2021, CENDANA telah meluluskan RM10 juta untuk 525 penerima manfaat dan kini hampir RM7 juta di bawah program PRISMA, sebagai peruntukan geran tambahan kepada lebih daripada 350 penerima manfaat baharu di samping mencipta lebih daripada 5,000 pekerjaan di seluruh negara dalam sektor ini. 

 

"Inisiatif ini dapat direalisasikan melalui peruntukan Belanjawan 2021," ujar beliau.

 

Sebahagian daripada usaha tersebut termasuk mengiktiraf sumbangan Adiguru CENDANA yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kelestarian dan pemeliharaan seni tradisional termasuk mereka yang mengungguli bidang masing-masing di Malaysia.

 

Ini termasuk mereka yang memperjuangkan seni tradisional dalam Hokkien Potehi (Teater Boneka Sarung Tangan), Mak Yong, Kuda Kepang, Tarian Topeng Orang Asli Mah Meri, Tarian Gambus Padang Changkat dan Muzik Tradisional Gambus, Syair, Wayang Kulit serta Tarian Main Puteri. - DagangNews.com