Cengild sertai usaha sama dengan Curie KL, OncoCare tubuh pusat onkologi di Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

Cengild sertai usaha sama dengan Curie KL, OncoCare tubuh pusat onkologi di Lembah Klang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 KUALA LUMPUR 31 Julai - Cengild Medical Bhd, melalui anak syarikatnya, Cengild Sdn Bhd, telah menjalin usaha sama dengan Curie KL Sdn Bhd dan OncoCare Holdings Sdn Bhd untuk menubuhkan pusat onkologi di Lembah Klang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Cengild berkata ia akan memegang 25% kepentingan dalam syarikat usaha sama yang dinamakan Curie Oncology KL Sdn Bhd.

 

Sementara itu, Curie KL akan memiliki majoriti kepentingan sebanyak 65% dan OncoCare memperoleh baki 10%.

 

Menurut kumpulan itu, syarikat usaha sama itu akan menubuhkan pusat onkologi pertamanya dan menjalankan operasinya di Cengild G.I. Medical Centre di Nexus@Bangsar South.

 

"Usaha sama itu mewakili peluang untuk Cengild Medical bekerjasama dengan kumpulan syarikat Curie Oncology (melalui Curie KL) dan bagi memanfaatkan kecekapan teras Curie Oncology dalam onkologi kompleks memandangkan ia merupakan pengguna awal teknologi dalam diagnostik perubatan dan rawatan untuk kanser.

 

"Usaha sama tersebut membolehkan Cengild Medical memperluaskan keupayaannya dalam menyediakan perkhidmatan onkologi kompleks, yang melengkapi pengkhususan terasnya dalam penyakit gastrousus dan hati, serta obesiti," kata Cengild.

 

Saham Cengild ditutup tidak berubah pada 36.5 sen pada 31 Julai 2023, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM304 juta. - DagangNews.com